Wany Hasrita Akhirnya Dapat Ijazah


TAHNIAH buat penyanyi Wany Hasrita akhirnya berjaya menggenggam ijazah sarjana muda Sains Perubatan di Management & Science University (MSU) di Shah Alam, pada Isnin.

Wany turut berkongsi perasaan gembira tersebut di laman Instagramnya lengkap berpakaian konvokesyen dengan keterangan gambar bertulis, "Pau dah grad #msuconvo21".

Wany, 25, ketika dihubungi berkata, dengan kejayaan ini dia berhasrat untuk menyambung pengajian ke peringkat sarjana, namun bukan dalam waktu terdekat ini.

"Alhamdulillah syukur, akhirnya saya konvo jugak sekali gus dengan rasminya berjaya memegang segulung ijazah sarjana muda dalam bidang Sains Perubatan.

"Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, saya akan tetap menyambung pengajian ke peringkat sarjana namun bukanlah dalam waktu terdekat ini," katanya kepada mStar Online.

Tambah Wany atau Nurshazwany Hasrita Hasbullah, dia menangguhkan hasrat menyambung pengajian bukan bermakna sudah leka dengan dunia hiburan sebaliknya perlu menyelesaikan beberapa misi yang sudah dijadualkan sebelum ini.

Di satu sisi katanya, pelajaran tidak seharusnya diabaikan kerana dia sendiri tidak boleh meletakkan sasaran sampai bila namanya boleh diterima di bidang seni.

"Saya akan tetap sambung pelajaran, namun saya harus menyelesaikan beberapa projek dan perancangan yang sudah diatur di dalam jadual.

"Justeru untuk tidak menganggu fokus, saya akan selesaikan ia satu persatu," katanya.

Sumber: Mstar Online