CHUKAI - Ikan yu kini menjadi tumpuan nelayan Vietnam meraih pendapatan tambahan ketika mencuri khazanah laut milik negara.
Difahamkan, sirip ikan yu terbabit mendapat permintaan tinggi dan mampu dijual pada harga antara RM3,000 dan RM4,000 sekilogram di negara terbabit.
Pegawai Pemerintah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Kapten Maritim Robert Teh Geok Chuan berkata, dalam operasi semalam, pihaknya menahan dua bot yang menggunakan nombor pendaftaran nelayan tempatan dan menemui 20 ikan yu yang ditanggalkan siripnya.
Katanya, kapal ronda APMM terserempak dengan dua bot itu di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) melakukan aktiviti menangkap ikan, jam 9.36 pagi dan 10.20 pagi.
Menurutnya, dalam Op Perkasa dan Op Marikh yang dilakukan itu, kedua-dua bot terbabit dikesan melakukan aktiviti menangkap ikan terlarang itu secara tunda ganding, kira-kira 60 batu nautika dari Kuala Kemaman.
“Menyedari kehadiran kami, bot terbabit melarikan diri dengan memotong pukat terbabit,” katanya semalam.
Bagaimanapun menurutnya, anggota APMM dapat mengejar dan menahan kedua-dua bot berkenaan dan menahan 25 awak-awak termasuk dua tekong berusia antara 17 hingga 49 tahun.
“Semua nelayan itu berasal dari Vietnam dan pemeriksaan mendapati mereka tidak mempunyai dokumen atau permit kebenaran menangkap ikan daripada Jabatan Perikanan Malaysia selain tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya turut merampas sebanyak satu tan ikan campuran, 400 kilogram ikan baja serta 20 ikan yu hidup.
“Nilaian kedua-dua bot serta peralatan tangkapan yang dirampas dianggarkan bernilai RM1.5 juta,” katanya.
Sumber: MyMetro