KUALA BERANG - Seorang warga emas yang dilaporkan hilang pagi kelmarin, ditemui dalam keadaan tidak bermaya selepas terperosok dalam longkang sedalam dua meter di Jalan Bukit Kampung Tok Bat, di sini, petang semalam.
Umar Ismail, 80, dari Kampung Butut, Kuala Berang di sini, dilaporkan hilang kira-kira jam 9.30 pagi, selepas keluar dari rumah sebelum gerakan mencari dan menyelamatkannya diaktifkan.
Komandan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Hulu Terengganu, Pegawai Bomba Kanan II, Zuraidi Mohd Yusof berkata, mangsa ditemui dalam keadaan tidak bermaya dalam longkang, kira-kira jam 3.56 petang.
Katanya, mangsa dipercayai terjatuh dalam longkang sedalam kira-kira dua meter sebelum ditemui selepas operasi mencari dan menyelamat selama sembilan jam yang turut disertai polis serta penduduk kampung dijalankan.
"Mangsa yang ditemui dalam keadaan tidak bermaya dihantar ke Hospital Hulu Terengganu (HHT) untuk rawatan.
"Keadaannya beransur pulih namun masih memerlukan rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Sumber: BH Online