KUALA LUMPUR - Penyanyi rap, Waris, mengakui masih mendapat tawaran berlakon meskipun memaklumkan kurang berminat dengan bidang itu.
Waris atau nama penuhnya Muzzammil Alias, 28, sudah menolak kira-kira tujuh tawaran lakonan setakat ini.
"Selain telefilem, ada juga undangan membintangi drama diterima tetapi saya menolak dengan baik kerana tidak minat berlakon.
"Peliknya, semakin saya tolak, makin banyak tawaran yang diterima. Saya bukannya jenis yang senang 'ngam' dengan pengarah dan kru kerana lambat mesra dengan orang," katanya kepada BH Online.
Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan dunia muziknya, Waris akan bekerjasama dengan Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Seri Hasan Malek, menerusi lagu This Is Pilah.
Waris sudah lama berhasrat menghasilkan lagu berkaitan daerah berkenaan dan peluang bekerjasama seperti itu tidak akan disia-siakan.
"Saya mahu menghasilkan lagu berkaitan daerah Kuala Pilah kerana dialek Negeri Sembilan rakyat di sini lebih pekat.
"Jika tiada aral, lagu terbabit akan dilancarkan dalam masa terdekat ini," ujar penyanyi yang pernah meletup dengan lagu Rembau Most Wanted itu.
Dalam perkembangan lain, Waris, yang baru-baru ini tampil berkolaborasi dengan Nora Danish menerusi lagu Ini Lagi Boom, kini sibuk menyiapkan karya untuk beberapa artis tempatan selain menjayakan persembahan secara 'live' secara berkumpulan di YouTube.
Sumber: BH Online