Wujudkan Segera Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-Kanak Di Sarawak - Rohani


KUCHING - Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berharap Mahkamah Khas Jenayah Seksual Kanak-Kanak diwujudkan segera di Sarawak.

Beliau berkata ini berikutan pendedahan beberapa kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak di Sarawak baru-baru ini, yang disifatkannya sebagai amat mengejutkan.

"Pada mesyuarat Kabinet baru-baru ini, saya ada suarakan supaya diwujudkan Mahkamah Khas Jenayah Seksual Kanak-Kanak di Sarawak sekurang-kurangnya pada tahun depan.

"Tetapi, dengan pendedahan beberapa kes di Sarawak ketika ini, saya harap tidak perlu tunggu sampai tahun depan. Saya akan minta ia dipercepatkan, jika boleh tahun ini. Saya mahu kanak-kanak yang menjadi mangsa mendapat pengadilan yang sebaik-baiknya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, pada Sabtu.

Rohani berkata adalah tidak sukar untuk segera mewujudkan mahkamah tersebut kerana ia hanya melibatkan proses pentadbiran sahaja.

"Tidak perlulah bina bangunan baharu. Mahkamah ini hanya melibatkan pengubahsuaian atau susun atur bilik mahkamah seperti kemudahan persidangan video secara langsung ketika memberi keterangan di mana mangsa akan berkomunikasi dengan Hakim," katanya.

Antara pendedahan jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang mengejutkan di negeri ini ialah kes dua beradik menjadi hamba seks empat anggota keluarga sendiri di sebuah kampung di Serian sejak enam tahun lepas.

Semalam, empat sekeluarga itu yang terdiri daripada datuk, bapa kandung dan dua bapa saudara mangsa dijatuhi hukuman penjara di antara 25 hingga 55 tahun dan 24 kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kota Samarahan. -BERNAMA