Yang Dipertua PAS Permatang Pauh Jumpa Najib 'Dikecam' Penyokong Pakatan Harapan


MUSUH- MUSUH  politik UMNO dan PAS kini tidak dapat lagi membezakan antara kepentingan umat Islam dan kepentingan berpolitik.

Mata mereka hanya tertumpu untuk mendapat kemenangan pada  pilihanraya umum akan datang.

Kali ini, Yang Dipertua PAS Permatang Pauh,  Omar Hasandi dan PAS pula menjadi cemuhan.

Omar yang hadir pada majlis bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Permatang Pauh, Khamis lalu ditular oleh musuh-musuh politik PAS.

Menurut lidah rasmi PAS semalam, perbuatan itu menyerlahkan lagi ketidakmatangan pemimpin parti-parti pembangkang yang berada dalam Pakatan Harapan di dalam berpolitik.

"Kehadiran beliau ke majlis tersebut dijemput secara rasmi oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang," kata Ketua Penerangan PAS Permatang Pauh, Jamsari Samad.

Menurut Jamsari sebagai Pengerusi Masjid Jamek Seberang Jaya, Omar dipilih untuk mewakili pengerusi 28 buah masjid yang lain di dalam Parlimen Permatang Pauh untuk menerima sumbangan berupa komputer riba dan kewangan untuk kegunaan pentadbiran masjid.

Peluang ini juga diambil kesempatan oleh Omar untuk meyuarakan permasaalahan umat Islam dan orang Melayu di Pulau Pinang kepada Perdana Menteri, kata kenyataan itu yang dipetik daripada Harakahdaily.

Kehadiran Omar ke majlis tersebut telahpun dimaklumkan terlebih dahulu kepada AJK PAS Permatang Pauh dan telah dipersetujui oleh semua AJK Dewan Harian, kata Jamsari.

Menurutnya lagi, Omar juga sebelum ini pernah hadir di dalam beberapa program kerajaan negeri atas kapasiti beliau sebagai Pengerusi Masjid Jamek Seberang Jaya ini tidak menjadi isu bagi PAS kerana memahami kedudukan beliau sebagai pengerusi masjid yang mewakili anak kariah di Seberang Jaya yang bermacam fahaman politik.

PAS yang mengambil sikap Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) melihat isu ini sebagai politik terdesak musuh-musuh PAS yang semakin gerun dengan BPMS, katanya.

PAS Permatang Pauh konsisten untuk menentang segala kerosakan dan kemungkaran yang dilakukan pihak pemerintah dan juga kerosakan yang dilakukan oleh kerajaan DAP, Pakatan Harapan pada Pilihan Paya Umum ke-14 nanti.

Beliau mengingatkan musuh pembangkang lain agar berpolitik secara matang dan bukan budaya politik fitnah yang menjuruskan diri ke lembah kebinasaan.

"Dan orang-orang yang kafir, setengahnya menjadi penyokong dan pembela bagi setengahnya yang lain. Jika kamu (wahai umat Islam) tidak menjalankan (dasar bantu-membantu sesama sendiri yang diperintahkan oleh Allah) itu, nescaya akan berlakulah fitnah (kekacauan) di muka bumi,", kata beliau lagi memetik ayat 73 Surah Al-Anfal.

Selepas tiada lagi kerjasama dengan PKR, parti PAS bercadang untuk mencabar di kawasan Parlimen Permatang Pauh yang kini disandang oleh Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail.

Hasrat PAS itu menimbulkan 'kemarahan' PKR dan sekutunya, DAP dan Parti Amanah Negara.-
- Kedahnews.com