PEMAIN dram popular Yazit Ahmad tidak dibenarkan menaiki pesawat di Bandar Seri Begawan, Brunei untuk pulang ke Kuala Lumpur semalam kerana uzur.
Isterinya Ramlah Mat berkata, keadaan kesihatan Yazit tiba-tiba merosot ketika mereka sedang menunggu pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, semalam.
Mereka berada di negara itu sejak Jumaat lalu kerana Yazit diundang sebagai juri dalam satu pertandingan nyanyian.
Berikutan itu, Yazit terpaksa dirawat di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (Ripas), Bandar Seri Begawan.
Yazit yang kini bersama kumpulan Rampage ketika dihubungi berkata, keadaan kesihatannya kini bertambah baik selepas menjalani rawatan di Hospital Ripas sejak semalam.
Namun, dia masih belum dibenarkan keluar dari hospital dan pulang ke Malaysia kerana masih perlu dipantau doktor.
"Tidak pasti lagi bila saya dibenarkan keluar. Mungkin saya perlu ditahan dua hari lagi kerana masih perlu menjalani dialisis.
"Keadaan saya sudah bertambah baik sekarang. Walaupun selera makan masih kurang, saya bersyukur kerana semakin pulih," katanya ketika dihubungi Harian Metro di Brunei, hari ini.
Yazit berkata, walaupun sudah dibenarkan pulang ke Malaysia nanti, dia masih perlu dikuarantin di Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan lanjut.
"Memandangkan saya menjalani dialisis di luar negara luar, saya perlu menjalani kuarantin selama beberapa bulan di Malaysia. Ia bagi mengelak berlaku sebarang jangkitan lain," katanya.
Sumber: MyMetro