Zahid Mahu Rakyat Kedah Terus Beri Sokongan Kepada Ahmad Bashah



ALOR SETAR - Tidak ada sejarah politik di negara ini Menteri Besar yang dilantik terdiri daripada kalangan mereka yang tidak tinggal di negeri kelahirannya, kecuali ia berlaku di negeri Kedah selepas PRU13 yang lalu.

Bagaimanapun rakyat Kedah cukup toleransi walaupun Menteri Besar mereka dilantik daripada kalangan 'orang luar' daripada negeri ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, manusia hanya merancang tetapi akhirnya yang menentukannya ialah Allah SWT.

Beliau turut memetik surah Yaassin yang bermaksud: Sesungguhnya kekuasaan-Nya apabila Ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Ia berfirman kepada benda itu: Jadilah engkau! Maka jadilah ia.

Menurut Ahmad Zahid, sepatutnya Menteri Besar yang dipilih mesti  tinggal dan berkhidmat lebih lama kepada rakyat di negeri kelahirannya. 

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO  bagaimanapun memuji Ahmad Bashah sebagai seorang pemimpin yang penyabar, berdaya tahan dan berdaya saing dalam menghadapi pelbagai senario dunia politik sehingga membolehkannya dipilih pucuk pimpinan menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada Februari 2016.

"Tidak ada dalam sejarah seorang Menteri Besar tidak duduk di negeri itu kecuali ada seorang (Mukhriz) itu sahaja... itu pun rakyat Kedah boleh bertoleransi... itu sebabnya pucuk pimpinan memilih Ahmad Bashah," kata  Ahmad Zahid.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian semasa berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Alor Setar di Insaniah, Mergong dekat sini semalam.  


Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri berharap semua 15 bahagian atau Parlimen di negeri Kedah dapat memberi kerjasama bagi memantapkan lagi parti dan kerajaan negeri pimpanannya terutama dalam menghadapi PRU14. 

Dalam konteks Kedah, Ahmad Zahid memberi jaminan bahawa beliau akan cuba sedaya upaya memberikan apa yang diperlukan oleh Negeri Jelapang Padi itu serta berjanji akan cuba 'membisikkannya' kepada Perdana Menteri jika beliau tidak mampu menunaikan permintaan Kedah.

"Saya akan pastikan Kedah akan menerima peruntukan lebih... Kedah ini untung sebab menteri besarnya mempunyai hubungan yang begitu baik dengan Perdana Menteri," katanya lagi.

 Sebelum  itu Ahmad Bashah ketika berucap pada majlis yang sama  mengajak parti-parti komponen bekerja dalam satu pasukan agar  Barisan Nasional (BN) memenangi dua pertiga kerusi negeri dan pusat, sekaligus  mengekalkan pemerintahan negara.

"Cabaran kita amat besar untuk PRU-14 ini dan sebab itu kita kena tumpu untuk 'berperang' dengan pembangkang sebab cita-cita mereka nak rampas Kedah tinggi.

"Kita kena bersedia walaupun tidak tahu bila PRU hendak diumumkan, kita kena bersama parti komponen untuk turun ke bawah menjelaskan situasi politik sebenar dengan penuh keikhlasan," katanya.

Ahmad Bashah berkata perpaduan dan sokongan anggota parti amat penting dalam misi merampas semula kawasan Parlimen Alor Setar serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Darulaman dan Alor Mengkudu daripada pembangkang.

Beliau juga menasihatkan rakyat Kedah agar menilai dengan bijak parti yang betul-betul membantu rakyat dan parti yang hanya sekadar menabur janji menjelang pilihanraya.

"Saya yakin rakyat Kedah yang pernah diperintah parti pembangkang pada PRU-12 lalu tidak akan mengulangi kesilapan itu pada PRU14," katanya. - Kedahnews.com