1 Mati, 3 Cedera Ditembak Di Sekolah


LOS ANGELES - Seorang murid terbunuh dan sekurang-kurangnya tiga lagi remaja cedera, dalam insiden tembakan di sebuah sekolah di barat laut Amerika Syarikat (AS), kata pihak berkuasa.

Insiden tembakan itu berlaku di Freeman High School di daerah Spokane, Washington kira-kira 260 kilometer dari Seattle.

Jurucakap jabatan bomba, Brian Schaeffer memaklumkan media tempatan bahawa seorang pelajar terbunuh dan tiga lagi dimasukkan ke sebuah hospital berhampiran.

Beberapa agensi media melaporkan enam mangsa terkena peluru tembakan termasuk mangsa yang maut. Pejabat sherif menerusi akaun Twitter berkata, polis melakukan pemeriksaan terperinci dari setiap bilik dan tingkat sekolah itu.

"Kami faham ibu bapa amat bimbang. Kami akan memberikan sebarang maklumat dengan segera. Jangan menghampiri kawasan ini," kata pejabat sherif.

Beberapa sekolah lain turut ditutup sebagai langkah berjaga-jaga dan menurut pejabat sherif Spokane, penembak itu sudah ditahan.

Bagaimanapun, polis tidak mendedahkan jenis senjata yang digunakan atau sama ada penembak ialah seorang daripada 327 pelajar Freeman High School.

Namun, dua pelajar memaklumkan kepada stesen televisyen KXLY bahawa mereka mengenali penembak disyaki itu.

"Dia memberikan nota kepada kawannya menyatakan akan melakukan sesuatu yang bodoh mungkin mengakibatkan dia terbunuh atau dipenjarakan," kata seorang pelajar itu sambil menambah nota itu diberikan beberapa minggu lalu.

Michael Harper, 15, memaklumkan agensi media Spokesman-Review bahawa beliau ialah kawan rapat penembak.

"Dia pelik dan suka rancangan Breaking Bad. Dia tidak nampak seolah-olah seperti seseorang yang bermasalah dan selalu bersikap baik, lawak serta pelik," kata Harper.

Sumber: Berita Harian