164 Mangsa Banjir Dipindahkan Di Langkawi


SERAMAI 164 penduduk membabitkan 40 keluarga di sembilan kampung di Langkawi, dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara selepas kediaman mereka dinaiki air, semalam.

Mangsa paling ramai dipindahkan ke dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Kedawang ialah dari Kampung Gelam iaitu 26 orang, diikuti Kampung Belak (22 orang), Bohor Masjid (16 orang), Padang Wahid (sembilan orang), Tanjung (lapan orang) dan Bohor Tempoyak (seorang).

Dewan Kampung Raja di Padang Matsirat pula menempatkan 35 penduduk dari Kampung Belakang Pasar, Kampung Raja (15 orang) dan Kampung Bohor Berendam (32 orang).

Pegawai Daerah Langkawi yang juga Pengerusi Bencana Banjir Daerah Langkawi, Isahak Murat berkata, penduduk dipindahkan bermula jam 5 petang selepas air naik sehingga paras 3.94 meter, berbanding paras selamat 3.19 meter.

"Semua mangsa berpindah sendiri dengan pemantauan anggota pasukan keselamatan ke kedua-dua pusat penempatan sementara itu.

"Banjir berpunca daripada hujan yang tidak berhenti sejak petang semalam dengan jumlah taburan hujan 147.5 milimeter," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Banjir di Pejabat Daerah Langkawi, malam semalam.

Sumber: MyMetro