18 Sekolah Tahfiz Di Kedah Belum Berdaftar Dengan JAIK


ALOR SETAR - Sebanyak 18 pusat tahfiz persendirian di negeri ini masih belum berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik).

Pengarah Jaik, Datuk Abdul Rahman Ismail berkata, daripada jumlah itu 14 sudah mengemukakan permohonan namun masih gagal mematuhi syarat ditetapkan.

“Kita dapati 14 sekolah ini tidak memenuhi syarat seperti tidak memiliki ahli jawatankuasa mencukupi, tanah pusat pengajian Islam belum diwakafkan serta kerja binaan belum selesai,” katanya.

Beliau ditemui dalam Program Taklimat Keselamatan kepada pentadbir sekolah rendah agama rakyat, sekolah menengah agama rakyat, maahad tahfiz dan pondok berdaftar di Kedah di di sini, kelmarin.

Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah (Pendidikan) merangkap pendaftar sekolah-sekolah agama, Syeikh Azahari Mohamed.

Kata beliau, antara syarat perlu dipenuhi, termasuklah sekolah memiliki kemudahan dan asrama mencukupi untuk penghuni dan memiliki minimum 20 pelajar.

“Empat lagi pusat tahfiz tidak kemukakan pendaftaran. Jadi, sekarang ada dua kategori sekolah tidak berdaftar. Satu tidak memenuhi syarat, satu lagi tidak mahu mendaftar,” katanya.

Katanya, empat pusat tahfiz itu beroperasi di daerah Yan, Baling, Kuala Nerang dan Pokok Sena.

“Kita dapati hanya papan tanda dinaikkan di atas tanah semata-mata. Tiada sebarang bangunan, kemudahan mahupun aktiviti pembelajaran,” katanya.

Untuk itu, kata Abdul Rahman berkata, dia menasihatkan pusat tahfiz yang belum berdaftar diminta berbuat sedemikian, manakala yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan menambah baik kemudahan mereka.

Setakat ini, sebanyak 137 sekolah agama didaftarkan di bawah Jaik meliputi maahad tahfiz (67). sekolah menengah agama rakyat (28), sekolah rendah agama rakyat (21) dan pondok (21).

Dalam perkembangan lain, katanya, pihaknya akan menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk mengkaji dan menyelaras ko-kurikulum di semua sekolah yang berdaftar dengan jabatan.

Terdahulu, 137 pentadbir sekolah yang mendaftar dengan Jaik mengambil bahagian dalam taklimat keselamatan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah.

Sumber: Sinar Online