MARAN - Dua maut selepas kereta dinaiki bertembung dengan treler tanpa muatan di Kilometer 83.5, Jalan Kuantan-Maran, dekat sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 1.35 pagi itu, Muhammad Fakhrur Razi Abdul Razak, 21, berasal dari Kampung Peragap, Temerloh bersama rakannya, Nur Qamarina Abdul Rahman, 21, berasal dari Timor Oil Plam, dekat sini, meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Mazlan Hassan, berkata kereta yang dipandu Muhammad Fakhrur dalam perjalanan menghala ke Maran dari Temerloh, dipercayai gagal dikawal lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan treler.
"Kedua-kedua mangsa yang tersepit dalam kenderaan itu dikeluarkan sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Maran.
"Mayat mayat mangsa dihantar ke Hospital Bandar Jengka (HBJ) untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber: BH Online