3 Pelajar Politeknik Lemas Di latar Janggut


JELI - Tiga pelajar Politeknik Jeli ditemui lemas ketika mandi di Air Terjun Hutan Rekreasi Latar Janggut di sini, pagi tadi.

Mayat Muhd Farid Rozi dan Putra Izzad Iskandar Zulkifli ditemui jam 10.15 pagi oleh orang awam manakala Muhamad Ikram Mohd Faisal ditemui bomba, jam 11.21 pagi.

Semua mangsa berusia 18 tahun. Mayat dibawa ke Hospital Jeli untuk bedah siasat.

Rakan mangsa, Muhamad Azamuddin Azman , 18, bersama 29 penuntut lain ke kawasan berkenaan untuk menjalankan tugasan akuatik ekosistem.

"Ketika sedang mengambil gambar, saya dimaklumkan tiga rakan yang mandi di air terjun lemas.

"Saya bergegas ke lokasi kejadian dan cuba membantu dengan menghulurkan kayu untuk menyelamatkan Muhammad Ikram namun gagal apabila dia terus tenggelam.

"Usaha mencari dijalankan sebelum mayat Muhd Farid dan Putra Izzad ditemui. Mayat Muhamad Ikram ditemui selepas itu," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Mohamad Shahril Mohamad Sa'id ketika dihubungi mengesahkan menerima maklumat berhubung kejadian.

"Sebaik menerima laporan jam 10.20 pagi, tujuh anggota dengan bantuan dua pasukan bomba sukarela bergegas ke lokasi kejadian. Sebaik tiba di lokasi kejadian dua mangsa sudah ditemui orang awam.

"Usaha mencari dan menyelamat terus dijalankan sebelum seorang lagi mangsa ditemui jam 11.21 pagi," katanya.

Sumber: BH Online