ALOR SETAR - Terlalu kecewa dengan Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilihat semakin mudah lupa di usia senjanya, bekas Setiausaha Kerjanya mendedahkan "muslihat" sebenar parti yang diasaskan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu.
Kamarulazman Habibur Rahman dalam persoalannya kepada Mahathir, membayangkan anak bekas Perdana Menteri itu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai "sampah" sebenar di dalam parti berkenaan yang cuba "diangkat" bekas Perdana Menteri itu.
"Bukankah perjuangan PPBM mempunyai muslihat meletakkan seorang 'anak emas' yang tidak mempunyai kebolehan di 'takhta impian' ketika matahari semakin hampir melabuhkan tirainya?
"Atau adakah 'anak emas' itu sampah sebenar PPBM?," kata Kamarulazman yang juga merupakan salah seorang bekas pengasas PPBM dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
Ekoran menyedari "anak emasnya" tidak berkebolehan meskipun dilimpahi kekayaan ketika Mahathir menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, perjuangan PPBM dicipta untuk membantu "anak emas" berkenaan untuk berada di puncak persada politik negara.
"Ia hadiah daripada sang bapa yang menyedari bahawa anakanda tersayang tidak mempunyai kebolehan walau dihujani wang ringgit yang melimpah ruah ketika sang bapa berada di 'singgahsana' untuk sekian lama," katanya lagi.
Kamarulazman turut menyentuh mengenai kekayaan anak-anak Mahathir yang sebelum ini menjadi persoalan besar kepada ahli dan pemimpin PPBM sebelum ini.
"Ketika itu sang bapa sering mengatakan bahawa dia tidak tahu bagaimana anaknya menjadi kaya raya.
"Namun sudah agak terlewat untuk bapanya bertanya dan mendapatkan jawapan kerana faktor usia dan kewarasan," ujar Kamarulazman di dalam kenyataan tersebut.
Beberapa pemimpin dan Exco Armada sebelum ini mendesak Mahathir supaya memperjelaskan tentang kekayaan anak-anaknya termasuk Mukhriz yang dikatakan sangat "luar biasa" khususnya dikaut ketika beliau 22 tahun menjadi Perdana Menteri dahulu.
Walau bagaimanapun, difahamkan tiada sebarang jawapan konkrit yang diberikan terhadap persoalan tersebut selain dari dolak-dalik dan kecaman parti terhadap pihak yang mempersoal tentang kekayaan anak-anak Mahathir itu. - Kedahnews.com