KUALA LUMPUR - Penyanyi Aiman Tino yang sudah memiliki lesen memandu, membida plat pendaftaran khas, Artis 1Malaysia (A1M) untuk kenderaan pelbagai guna (MPV) baharunya.
Selain menyokong usaha Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M) mencari dana membantu anak seni melalui projek itu, Aiman, 19, teruja mendapatkan plat A1M yang secara simbolik melambangkan tiga abjad pertama namanya.
"Saya dalam proses membida nombor plat itu bagi menyokong usaha YA1M.
"Saya sedang menunggu kereta baharu iaitu kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dijangka diperoleh minggu depan untuk didaftarkan dengan plat khas A1M," katanya kepada BH Online.
Penyanyi Ku Rela Dibenci ini memberitahu, sejak memperoleh lesen, dia sering memandu jika tiada komitmen seni.
"Namun, jika ada program seni, selalunya pemandu yang membawa saya ke lokasi," katanya.
Dalam perkembangan lain, Aiman rancak mempromosikan single ketiganya berjudul Ku Hanya Sayang Padamu. Lagu itu dilancarkan selepas single Ku Rela Dibenci dan Permata Cinta dipromosikan.
"Alhamdulillah, sudah hampir 10 juta tontonan video muzik Ku Hanya Sayang Padamu direkodkan dalam tempoh dua bulan.
"Ini membakar semangat saya untuk merancakkan karier seni," katanya.
Malah, selepas muncul dengan minyak wangi dan koleksi kurta sendiri, Aiman bakal tampil dengan koleksi pakaian seragam sekolah.
"Pakaian sekolah Aiman akan mula dijual di 10 buah cawangan Mydin terpilih, November ini," katanya.
Sumber: BH Online