KUALA LUMPUR - Penyanyi remaja, Aiman Tino, mengakui terkejut dengan penyebaran berita palsu mengatakan beliau ditangkap khalwat bersama seorang gadis dalam kereta, malam kelmarin, sekitar kawasan Subang.
Aiman atau nama sebenarnya, Mohammad Aiman Yusri, 19, bagaimanapun enggan melatah dengan cerita yang didakwa tidak benar itu.
"Saya diberitahu mengenai cerita khalwat ini oleh peminat yang khuatir sama ada ia benar atau sebaliknya. Saya berterima kasih kepada mereka yang bertanggungjawab menyebarkan khabar angin ini.
"Saya sedang melepak bersama-sama kawan di Ampang untuk berbincang mengenai lagu, jadi bagaimana timbul cerita ditangkap khalwat pula? Berita yang tersebar ini boleh mencalarkan imej saya kerana secara tidak langsung pasti ada yang mempercayainya.
"Namun, saya memilih untuk tidak melatah dengan cerita yang timbul ini bagi mengelakkan ia menjatuhkan semangat saya.
"Apa yang pasti, keluarga tahu perkara itu tidak benar sama sekali . Saya sendiri pun masih lagi tinggal bersama mereka," katanya kepada BH Online.
Aiman mengulas mengenai cerita disiarkan di ruangan pojok hiburan sebuah blog tempatan, kononnya seorang penyanyi remaja lelaki yang juga finalis Anugerah Juara Lagu 31 ditangkap khalwat.
Daripada bayangan diberikan, penyanyi yang dimaksudkan itu adalah Aiman.
Dalam perkembangan terbaru, Aiman bakal melancarkan lagu duet berentak pop bersama kakaknya, Fara Hazel, dalam tempoh terdekat.
"Insya-Allah, saya bakal berduet dengan kakak menyanyikan lagu ciptaan ayah kami. Malah, saya juga akan menyanyi rap dalam lagu itu bagi menampilkan kelainan.
"Harapnya ia dapat diterima oleh peminat di luar sana," kata Aiman yang meletup dengan lagu Ku Rela Dibenci.
Selain itu, Aiman juga bakal melancarkan baju sekolah jenama sendiri pada hujung tahun ini.
Sumber: BH Online