Menerusi laporan mStar online, Aizat Amdan, mendedahkan dia meluangkan masa menjengah ke wad pesakit mental Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) baru-baru ini bagi menyempurnakan slot video log (Vlog) di YouTube miliknya.
"Selepas dua tahun, saya ambil keputusan untuk kembali aktif dengan Vlog yang menceritakan tentang kehidupan peribadi, kerjaya seni dan aktiviti saya untuk dikongsi bersama peminat dan lawatan ke wad psikatrik adalah sebahagian daripada pengisian slot tersebut," katanya.
Jelas pelantun lagu hits Hanya Kau Yang Mampu ini, idea untuk menjengah ke lokasi tersebut datang setelah memikirkan semakin ramai orang kelmarin termasuk rakan-rakan terdekatnya mengalami tekanan perasaan.
"Saya melihat masalah ini tidak harus dipandang remeh kerana ia berkait rapat dengan kejiwaan dan paling membimbangkan ada di kalangan rakan-rakan saya sendiri mengalami depresi.
"Atas dasar itu, saya cuba selami hati mereka yang berada di sana menerusi Vlog dan anda boleh menonton episod tersebut di saluran YouTube @officialAizatAmdan," katanya.
Sumber: MalaysianDigest