Ajal Langgar Van Di Kulim


REMAJA lelaki etnik Rohingya, 16, maut selepas motosikal ditunggang bertembung dengan van di Jalan Kulim-Mahang, berhampiran Klinik Kesihatan Sungai Kob, Kulim, semalam.

Dalam kejadian 1.40 tengah hari itu mangsa, Noor Muhammad Abdul Malik yang juga pemegang kad Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) maut akibat parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, ketika kejadian mangsa menunggang motosikal Modenas Dinamik dari arah Kulim ke Sungai Kob dan van dipandu lelaki berusia 51 tahun juga dari arah sama.

"Hasil siasatan awal, apabila tiba di tempat kejadian van terbabit yang berada di hadapan mangsa dikatakan membuat pusingan U.

"Mangsa yang tidak sempat mengelak terus melanggar van terbabit dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

"Mayat mangsa kemudian dihantar ke Bilik Forensik Hospital Kulim (HK) untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarganya,"katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan seorang Pelajar Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah meninggal dunia pagi tadi di Hospital Pulau Pinang selepas terbabas sendiri ketika menunggang motosikal dalam satu kejadian di Jalan KTC 3, Rabu lalu.

Katanya, mangsa Muhamad Hazim Mohamad Haslan,20, dari Bagan Serai, Perak meninggal dunia kira-kira jam 10 pagi tadi selepas dua hari menerima rawatan.

"Pada Rabu lalu kira-kira jam 11 malam pihak balai polis trafik daerah menerima laporan seorang penunggang motosikal terbabas selepas hilang kawalan di simpang tigaJalan KTC 3 - Jalan Timah.

"Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kulim untuk menerima rawatan sebelum dipindahkan ke HPP untuk rawatan lanjut.

"Kira-kira jam 10 pagi tadi pihak polis menerima maklumat dari (HPP) memaklumkan mangsa meninggal dunia dan jenazahnya dihantar ke Bilik Forensik HPP untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya,"katanya.

Katanya, dua kes kemalangan terbabit disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: MyMetro