"Aku Dah Tak Larat Nak Minta Duit Daripada Mak,"- Penagih


BUTTERWORTH - "Aku dah tak larat nak minta duit daripada mak,". Itu antara luahan seorang penagih dadah yang dengan rela hati menyerah diri kepada anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), kelmarin.

Lelaki berusia 30-an itu mengakui dia tidak sanggup lagi bertengkar dan sentiasa meminta wang daripada ibu menyebabkan dia mengambil jalan untuk menyerah diri kepada AADK.

Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas suspek mendapati dia positif dadah jenis heroin.

Sementara itu, Ketua Pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan Daerah Seberang Perai Utara, Zulkefli Alapitchay berkata, operasi dijalankan meliputi beberapa kawasan di sekitar Seberang Perai Utara.

Menurutnya, seramai tujuh warga tempatan berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun ditahan dalam operasi cegah berkenaan.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati dua suspek positif dadah jenis methamphatamine dan lima positif dadah jenis morphine.

"Kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Pencegahan Dadah 1983 dan dibawa ke Pejabat AADK Daerah Seberang Perai Utara untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Dalam pada itu, orang ramai terutamanya masyarakat di sesebuah kawasan boleh terus membuat aduan kepada pihak AADK sekiranya mempunyai maklumat mengenai aktiviti penagihan dadah di kawasan mereka.

“Dalam proses aduan ini, sememangnya pihak AADK meletakkan sebagai maklumat sulit dan identiti pengadu ini sama sekali dirahsiakan.

“Oleh itu, pentingnya kerjasama daripada masyarakat itu sendiri dalam usaha untuk memerangi habis-habisan penyalahgunaan dadah ini,” katanya.

Sumber: Sinar Online