Along Didapati Bersalah Beri Pinjaman Tanpa Lesen, Didenda RM350,000


MELAKA - Seorang ahli perniagaan didenda RM350,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, semalam, selepas didapati bersalah menjalankan kegiatan memberi pinjaman wang tanpa lesen empat tahun lalu.

Hakim Norma Ismail menjatuhi hukuman itu terhadap Pang Siew Chan, 48, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Mengikut pertuduhan, Pang didakwa memberi pinjaman wang kepada Ng Yew Moi, 63, berjumlah RM10,000 sedangkan dia tidak mempunyai lesen perniagaan pemberi pinjam wang yang sah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah gerai makan di Jalan Cheng Baru, pada Oktober 2013.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400) yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM250,000 dan tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang diwakili peguam Ng Fun Boon, merayu mahkamah menjatuhi hukuman ringan terhadap anak guamnya dengan alasan Pang tidak mempunyai rekod jenayah lampau selain aktif dalam aktiviti kemasyarakatan serta banyak memberi sumbangan.

Namun, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Iffa Sirhu Samsudin memohon mahkamah menjatuhi hukuman setimpal terhadap tertuduh.

Iffa Sirhu berkata, kes berkenaan membabitkan kepentingan awam malah aktiviti along masih berleluasa kerana mengenakan bunga yang tinggi hingga mendatangkan masalah kepada peminjam.

Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak, mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh membayar denda RM350,000 atau menjalani hukuman penjara 30 bulan jika gagal berbuat demikian.

Sumber: MyMetro