Anifah Bawa Isu Roghingya Ke Unga


PUTRAJAYA – Malaysia dijangka mengetengahkan nasib yang menimpa etnik minoriti Rohingya di wilayah Rakhine, Myanmar, pada Sesi ke-72 Perhimpunan Agung Bangsa Bersatu (UNGA Ke-72).

Isu itu adalah antara perkara utama dibawa untuk perhatian Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, yang akan menyampaikan Kenyataan Negara Malaysia pada mesyuarat UNGA itu nanti.

Dalam kenyataan semalam, Wisma Putra berkata pada perhimpunan itu yang berlangsung di New York mulai hari ini hingga 26 Sept, Anifah juga akan mengetengahkan persoalan berkaitan Palestin, perkembangan di Semenanjung Korea, penghapusan senjata nuklear, Gerakan Yayasan Kesederhanaan dan inisiatif pembaharuan PBB.

“Di samping itu, beliau juga dijangka menandatangani bagi pihak kerajaan Malaysia, Triti Pengharaman Senjata Nuklear dan Memorandum Persefahaman Pasukan Penyiasat Bersama Berkaitan Penerbangan MH17 Malaysia Airlines pada 20 Sept,” katanya di sini semalam.

Menurut Wisma Putra, semasa di New York, Anifah dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatan beliau di luar rangka UNGA Ke-72 bagi membincangkan perkara kepentingan bersama.

Anifah juga dijadual menghadiri mesyuarat berkaitan ASEAN dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Mesyuarat Menteri Luar Komanwel dan Gerakan Negara Berkecuali.

Wisma Putra berkata tema UNGA tahun ini, ‘Focusing on People: Striving for Peace and a Decent Life for All on a Sustainable Planet’ (Fokus Terhadap Manusia: Berusaha Ke Arah Keamanan dan Kehidupan Sejahtera Untuk Semua di Sebuah Planet Lestari), memberi fokus tentang cara bagaimana PBB dapat membantu manusia di seluruh dunia agar mereka boleh menikmati kehidupan aman dan sejahtera secara lestari.

“Ia akan banyak memberi penekanan terhadap pelaksanaan dan pencapaian 17 Matlamat Pembangunan Mampan di bawah Agenda 2030 bagi Pembagunan Mampan,” katanya. – Bernama