Annuar Musa Mahu Jadi Penyokong Saja


PETALING JAYA - Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa memberi gambaran bahawa barisan kepimpinan baharu persatuan itu tidak memerlukan dirinya sebagai penasihat.

Dalam satu kenyataan di laman Facebooknya, Annuar berkata beliau sendiri tidak berhasrat memegang jawatan tertinggi itu. 

Malah, katanya, jawatan penasihat Kafa seelok-eloknya dipegang individu dalam kalangan exco persatuan itu sendiri.

"Sekarang exco baru sudah terbentuk. Mereka tidak perlu pada penasihat. Sebaik baik penasihat ialah exco itu sendiri.

"Saya sendiri tidak berhasrat menjadi penasihat kerana saya tidak layak memegang jawatan tinggi itu. Saya Insya-Allah jadi penyokong. Itu sudah cukup," katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan statusnya sebagai penasihat Kafa tidak perlu dibincangkan kerana ia sudah tamat pada kongres yang lalu.

"Jika tidak silap saya jawatan penasihat tidak wujud dalam statut Kafa. Ia hanya keputusan exco Kafa sebelum ini yang di buat secara pentadbiran sahaja. Waktu itu saya tidak menerima atau menolaknya," kata Annuar.

Namun, beliau percaya Bibi Ramjani Ilias Khan selaku presiden dan barisan exco baharu berupaya melaksanakan segala tugas seperti yang terkandung dalam manifesto kempennya.

"Saya yakin beliau mampu dan saya percaya bola sepak Kelantan akan kembali hebat dan bakal menjulang kejuaraan demi kejuraan di peringkat tertinggi. Insyaallah!," katanya.

Terdahulu, mStar Online melaporkan kedudukan Annuar selaku penasihat Kafa hanya akan ditentukan selepas berakhirnya kempen Liga Super musim ini.

Bibi berkata perkara tersebut juga perlu dibincangkan dalam mesyuarat Exco Kafa yang akan diadakan pada tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Malah, katanya, nasib bekas presiden Kafa itu juga bergantung kepada hasil mesyuarat tersebut.

"Itu kena tunggu mesyuarat Exco dan keputusan mengenainya terletak pada Exco (Kafa). Kita tunggu mesyuarat nanti," katanya.

Sumber: Mstar Online