'Anugerah Pulih Semangat Saya'


KUALA LUMPUR - Datuk Lee Chong Wei mengakui, ketika semangatnya hampir jatuh akibat kegagalan terbaru untuk merangkul kejuaraan badminton dunia, pengiktirafan yang diterima menerusi anugerah Panglima Jasa Negara (PJN) sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V kelmarin membuatkan dia kembali bersemangat.

Chong Wei, 35, yang masih berduka atas kekalahan mengejut kepada pemain Perancis, Brice Leverdez dalam Kejohanan Dunia di Glasgow, bulan lalu memberitahu, anugerah tersebut membuatkan dia merasa lebih dihargai, sekali gus mahu terus berjuang untuk negara.

Selain pemain No. 1 negara itu, ratu skuasy, Datuk Nicol David turut menerima PJN, manakala beberapa atlet lain menjadi penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan di Istana Negara.

Kata Chong Wei, itu adalah anugerah tertinggi ketiga pernah diterima sepanjang bergelar atlet dengan pertama dari Pulau Pinang, Melaka dan terbaru daripada Yang di-Pertuan Agong.

“Saya sangat gembira dengan anugerah ini. Ia hadir tepat pada masanya, ketika saya sedang berduka dan ini membuatkan saya kembali bersemangat.

“Pingat ini untuk apa yang saya sumbangkan kepada negara. Saya tidak pernah berputus asa dan akan terus berjuang untuk mengharumkan nama negara dalam banyak lagi kejohanan kerana saya mahu semua orang kenal Malaysia,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini, semalam.

Sumbangan terbesar Chong Wei kepada negara ialah menghadiahkan pingat perak Sukan Olimpik tiga kali berturut-turut dengan terbaru pada 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Sementara itu, juara basikal keirin dunia, Azizulhasni Awang bersama pemenang pingat emas Paralimpik Rio 2016, Muhammad Ziyad Zolkefli, Abdul Latif Romly serta Mohamad Ridzuan Puzi pula menerima Kesatria Mangku Negara (KMN).

Jurulatih olahraga paralimpik negara, R. Jaganathan turut menerima anugerah KMN, manakala enam atlet lagi menerima anugerah Ahli Mangku Negara (AMN).

Antara penerima tersebut ialah juara terjun dunia, Cheong Jun Hoong, Chan Peng Soon, Goh Liu Ying, Tan Wee Kiong dan Goh V Shem (badminton) serta Siti Noor Radiah Ismail (paralimpik).

Sumber: Utusan Online