APG: PM Najib Ucap Tahniah, Atlet Malaysia Pamer Semangat Juang Tinggi


KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua atlet negara pada temasya Sukan Para ASEAN (APG) Kuala Lumpur 2017 atas kesungguhan dan semangat juang yang ditunjukkan dalam sukan dwitahunan itu yang melabuhkan tirainya malam ini.

"Kita semua dapat melihat betapa kesungguhan dan semangat juang para atlet negara tiada tolok bandingnya. Anda semua #Kebanggaanku, syabas dan tahniah! #APG2017," katanya menerusi catatan di laman Twitter dan Facebooknya malam ini.

Beliau berkata perjalanan atlet negara dalam meraih kejayaan sememangnya tidak mudah tetapi mereka berjaya menempuhinya dengan penuh kecekalan, kegigihan dan keazaman.

"Hari ini, usaha itu terbalas dengan kejayaan 259 pingat, untuk diri sendiri, untuk negara dan untuk rakyat Malaysia," katanya.

APG Kuala Lumpur 2017 melabuhkan tirainya dengan meriah dan bergaya apabila Malaysia menampilkan pencapaian terbaik sebagai naib juara pada acara sukan itu dalam masa lapan tahun dengan merangkul 259 pingat membabitkan 90 emas, 85 perak dan 84 gangsa. - BERNAMA