APM Perlis Minta Penduduk Patuhi Arahan


KANGAR - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis meminta penduduk mematuhi arahan berpindah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini susulan hujan lebat yang melanda negeri ini sejak semalam.

Jurucakapnya berkata hujan lebat semalam menyebabkan banjir kilat sedalam 0.5 meter dan menjejaskan 25 buah rumah di Kampung Tebing Tinggi, Bintong di sini.

“APM mengarahkan mangsa-mangsa yang terjejas ke pusat pemindahan di Bintong namun tiada sesiapa mahu berpindah kerana menjangka air akan surut. Walaupun air surut awal pagi ini, kami bimbang jika hujan berterusan boleh menyebabkan banjir,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Menurut jurucakap itu Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menggunakan sebuah pam besar untuk mengeluarkan air dari kawasan limpahan ke Sungai Perlis, sekali gus  memulihkan keadaan.

Katanya aliran air di Kampung Tebing Tinggi terhalang disebabkan  kerja-kerja Lencongan Barat Timah Tasoh untuk mengalih aliran air ke Sungai Perlis belum siap. - Bernama