Asal Usul Kampung Siputeh Masih Jadi Tanda Tanya


ASAL usul Kampung Siputeh, Kodiang, di sini masih menjadi tanda tanya berikutan menurut cerita-cerita orang lama, terdapat dua versi yang diperdengarkan secara turun temurun.

Terletak kira-kira enam kilometer dari Kodiang, Kampung Siputeh merangkumi Kampung Lindungan Bulan, Kampung Pulau Siputeh dan Kampung Seberang Siputeh.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pulau Siputeh, Md Nazori Hashim berkata, terdapat dua versi berkenaan asal usul nama kampung itu.

"Dalam versi pertama, nama 'SiPuteh' ini dikatakan berasal dari nama seorang puteri berdarah putih yang turut dikaitkan dengan Puteri Lindungan Bulan.

"Malah nama Kampung Siputeh turut didakwa diperoleh daripada nama isteri sultan dalam versi berlainan, namun kesahihan kedua-dua versi ini masih tidak diketahui," katanya.

Menurutnya, mereka tidak mengetahui kesahihan kisah diperdengarkan mengenai asal usul nama kampung berkenaan, memandangkan ia cerita turun temurun.

"Namun kesan tinggalan sejarah seperti runtuhan benteng kota dibina dari tanah dipercayai masih ada di kawasan perkampungan itu," katanya.

Kampung ibarat tempat pelancongan

Biarpun terletak di kawasan luar bandar, namun Kampung Siputeh ini diibaratkan seperti lokasi pelancongan, apatah lagi di kawasan itu juga wujudnya tempat bersejarah.

Md Nazori berkata, terdapatnya Makam Puteri Lindungan Bulan berdekatan Kampung Pulau Siputeh.

"Makam ini memiliki nilai sejarah tinggi kerana ia didakwa merupakan satu-satunya bukti wujud pusat pemerintahan Kedah Ketiga di Kota Siputeh sekitar 1282 hingga 1626.

Dalam pada itu, orang luar turut berpeluang melihat dan merasai sejenis tumbuhan yang didakwa hampir pupus dikenali sebagai buah lokcan yang hanya terdapat di kawasan Kota Siputeh.

Malah katanya, mereka turut memiliki keunikan lain apabila memiliki mercu tanda tersendiri iaitu menara tempurung yang dibina dari ratusan tempurung kelapa lama.

Sehingga kini katanya, ada sahaja orang luar memasuki kawasan perkampungan berkenaan bagi merakamkan keindahan panorama dan keunikan kampung itu.

Bakal wakili daerah ke peringkat negeri

Keindahan Kampung Pulau Siputeh membolehkan ia memenangi Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan 2015 Peringkat Negeri Kedah pada September lalu.

Md Nazori berkata, penduduk Kampung Pulau Siputeh tidak menyangka akan memenangi pertandingan berkenaan memandangkan baru pertama kali menyertai program seumpama itu.

"Semua penduduk kampung terutamanya AJK sanggup berkorban wang dan tenaga masing-masing bagi mencantikkan kampung yang memiliki nilai sejarah tersendiri ini," katanya.

Ternyata katanya, komitmen penduduk tempatan berbaloi apabila mereka turut menerima Anugerah Desa Sejahtera 1Malaysia (ADSIM) Peringkat Kubang Pasu.

"Kami kini berdebar-debar memandangkan akan mewakili daerah dalam pertandingan berprestij sama bagi peringkat negeri tidak lama nanti.

"Kami mengharapkan tuah berpihak kepada kami, sekali gus mengharumkan dan mengangkat potensi kawasan berkenaan sebagai destinasi pelancongan menarik," katanya.

Sumber: Sinar Harian