Asal Usul Nama Kuala Nerang, Bandar Terbesar Di Daerah Padang Terap


KUALA NERANG merupakan salah satu mukim yang terletak di dalam daerah Padang Terap dan tidak asing bagi anak-anak Kedah. Namun begitu, tidak semua yang tahu tentang asal-usul bagaimana ia diberi nama sebagai "Kuala Nerang".

Menurut sumber sejarah negeri Kedah, nama kawasan berkenaan tercipta berdasarkan dua kisah yang berbeza yang membentuk percantuman ungkapan "Kuala" dan "Nerang", yang juga bersempena dari dua elemen yang berbeza.

Difahamkan kisah asal-usul pertama menjelaskan nama "Kuala" diberi ekoran kedudukan atau lokasi mukim tersebut yang terletak di antara pertembungan dua sungai yang terdapat di situ iaitu Sungai Pedu dan Sungai Ahning yang membentuk kuala di sana.


Sementara itu, nama "Nerang" pula dikatakan bermaksud kepada kawasan yang merimbun dan teduh yang merujuk kepada kawasan sekitar yang dipenuhi pokok-pokok dan hutan yang terdapat di sekitar kuala tersebut.

Akhirnya, penduduk di kawasan itu dikatakan sepakat menamakannya sebagai Kuala Nerang.

Kisah kedua pula menjelaskan bahawa asal-usul nama Kuala Nerang diberikan oleh Bapa Kemerdekaan Negara, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang pernah bertugas sebagai Pegawai Daerah di kawasan tersebut.

Juga bersempena kuala yang terbentuk di antara Sungai Pedu dan Sungai Ahning, yang kemudian digabungkan dengan nama puteranya, Tunku Ahmad Nerang, maka mukim berkenaan dinamakan sebagai Kuala Nerang.

Boleh dikatakan Bandar Kuala Nerang merupakan sebuah bandar terbesar di daerah Padang Terap dan paling pesat membangun dengan terbinanya pelbagai kemudahan prasarana dan infrastruktur asas berbanding 30 tahun yang lampau.


Kuala Nerang kini dilengkapi dengan kemudahan Hospital Kuala Nerang serta beberapa sekolah ternama seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Nerang, SMK Padang Terap, sekolah kluster kecemerlangan SMK Dato' Syed Ahmad  dan banyak lagi.

Selain itu, sebagaimana di mukim lain, terdapat juga kemudahan lain turut wujud di mukim berkenaan seperti pejabat pos, balai polis, pusat-pusat ibadat, bank, hotel dan rumah inap (homestay), kem motivasi, pusat internet, klinik, kolej MARA dan lain-lain lagi.

Selain dari aktiviti ekonomi menoreh getah yang menjadi pekerjaan utamanya, penduduk di kawasan itu juga difahamkan mengusahakan sawah dan tanaman lain seperti kelapa sawit dan sebagainya.


Pembangunan pesat di kawasan tersebut juga telah membuka ruang kepada penduduk tempatan untuk menceburkan diri dalam bidang usahawan dan perniagaan di mana ia telah merancakkan lagi perkembangan sosio-ekonomi di kawasan tersebut.

Antara lokasi menarik yang terdapat di Kuala Nerang adalah seperti Air Terjun Puncak Janing dan kedudukan mukim itu yang begitu hampir dengan empangan Pedu, salah satu sumber bekalan air terpenting di wilayah utara Semenanjung Malaysia. - Kedahnews.com