KUALA LUMPUR - Penyanyi, Ning Baizura dan lapan adik-beradiknya reda dengan pemergian ayah, Allahyarham Sheikh Hamzah Sheikh Mohamed, 86, di rumahnya di Shah Alam, petang kelmarin, akibat sakit tua.
Ning berkata, ayahnya yang ketika itu berpuasa menghembuskan nafas terakhir ketika duduk di atas sejadah, kira-kira jam 2.40 petang.
"Ayah meninggal dunia selepas waktu Zohor dan ketika sedang berpuasa. Adik-beradik saya melihat ayah menghembuskan nafas terakhir di atas sejadah dengan wajah tenang.
"Saya hanya sempat melihat arwah ketika dimandikan untuk solat jenazah dan mencium dahinya buat kali terakhir.
"Ustaz ada beritahu ayah insan terpilih kerana meninggal dunia dalam keadaan masih utuh menunaikan solat lima waktu dan kami reda dengan pemergiannya," katanya kepada BH Online.
Jenazah Allahyarham Sheikh Hamzah dikebumikan selepas solat Asar di tanah perkuburan di Shah Alam, petang kelmarin.
Ning berkata, pemergian ayahnya tidak diduga kerana arwah sebenarnya sihat.
Ning yang hanya dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp memberitahu, kehilangan arwah meninggalkan impak besar dalam hidupnya.
"Pilihan saya adalah tabah. Apatah lagi ayah pergi sehari sebelum Aidiladha yang disambut umat Islam hari ini," katanya.
Sumber: BH Online