Baby Belum Lahir, Jovian Mandagie Dah Reka Baju Anaknya


ISTERI kepada pereka fesyen terkenal Jovian Mandagie, Nina Sabrina Ismail Sabri akui suaminya sudah mempunyai beberapa rekaan baju untuk bayi sulung mereka yang bakal lahir November ini.

Nina berkata Jovian adalah orang yang paling teruja melakukan segala persiapan untuk menyambut bayi perempuan mereka itu.

"Jovian memang sangat teruja untuk menanti kelahiran bayi kami. Semua persiapan menyambut orang baru itu dalam keluarga kami dia yang uruskan.

"Bukan sahaja daripada barang kelengkapan bayi serta bilik bayi malah dia sudah mula mereka beberapa baju untuk anak kami.

"Bayangkan, dia sudah ada beberapa design baju anak kami untuk majlis aqiqah dan hari lahir pertama dia nanti.

"Saya beruntung kerana mempunyai suami yang lakukan semuanya," katanya kepada Astro Gempak.

Sementara itu, bercerita mengenai pengalaman hamil anak pertama, Nina memberitahu semuanya berjalan dengan lancar walaupun dia kini mengalami kesukaran untuk tidur di waktu malam.

"Alhamdulilah apabila dengar cerita kebanyakan ibu-ibu lain yang lemah ketika hamil, saya bersyukur kerana masih boleh aktif bekerja dan menjalani kehidupan seharian.

"Malah ketika trimester pertama pun saya hanya mabuk di sebelah pagi dan boleh keluar bekerja seperti biasa selepas itu.

"Cuma kini apabila sudah masuk trimester ketiga, saya mengalami kesukaran hendak tidur malam kerana baby aktif menendang.

"Jadi, biasa saya akan tidur selepas jam 5 pagi dan bangun tengahari keesokan harinya serta bekerja seperti biasa," katanya lagi.

Nina kini mengusahakan sebuah kedai kek Fluff Bakery di Kuala Lumpur.

Sumber: Astro Awani