LAMAN web https://bajet2018.najibrazak.com yang disediakan kerajaan untuk mendapatkan input, maklum balas dan cadangan rakyat bagi membentangkan Bajet 2018 menerima sambutan menggalakkan daripada netizen.
Laman web yang mula dibuka sejak pagi kelmarin, mengandungi 14 kategori bersesuaian dengan inti pati bajet yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 27 Oktober ini.
Ini termasuklah ekonomi digital, kos sara hidup, perumahan dan kehidupan bandar, alam sekitar, belia dan sukan, keselamatan awam, perkhidmatan penjagaan kesihatan, pengangkutan dan infrastruktur.
Sehingga semalam, aspek kos sara hidup dan pendidikan paling banyak dibincangkan oleh netizen yang mengharapkan kerajaan mengambil serius dan prihatin terhadap masalah dialami rakyat.
Memetik laporan Sin Chew Daily, ada kalangan netizen mencadangkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) daripada enam peratus dikurangkan kepada empat peratus bagi meringankan beban hidup.
Ada juga yang meminta kerajaan memansuhkan cukai jualan kereta nasional supaya golongan berpendapatan rendah turut mampu memiliki kereta seperti pengguna lain.
Mengenai kemudahan pengangkutan awam, netizen berharap kerajaan dapat menyediakan lebih banyak bas percuma untuk kemudahan orang ramai, terutama untuk rakyat tempatan.
Selain itu, dari segi perumahan pula, kerajaan dicadangkan mengenakan syarat lebih longgar untuk membolehkan rakyat berpendapatan rendah membeli rumah mampu milik.
Laman web khas ini dibuka kepada orang ramai mengemukakan sebarang cadangan dan input dalam pembentukan #Bajet2018 dan akan berakhir pada 18 September ini.
Sumber: Sinar Harian