BAM Tidak Bercadang Isi Jawatan Pengarah Teknikal Baharu


GEORGE TOWN - Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak bercadang untuk mengisi jawatan pengarah teknikal BAM yang dikosongkan oleh Morten Frost Hansen selepas menerima peletakan jawatan beliau pada Isnin.

Presidennya, Datuk Seri Norza Zakaria, yang juga pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C and T) berkata persatuan akan berpegang kepada pelan bahawa semua jurulatih sekarang melapor terus kepada jawatankuasa itu.

Beliau berkata kesemua lima ketua jurulatih - Misbun Sidek (perseorangan lelaki), Cheah Soon Kit (beregu lelaki), Tey Seu Bock (perseorangan wanita) Wong Pei Ty (beregu wanita) dan Chin Eei Hui (beregu campuran) - telah bersetuju dengan struktur baharu itu.

"Pada masa ini, kami tidak mempunyai rancangan untuk mengisi jawatan (pengarah teknikal) dan pengurus kami kami Michelle Chai akan mengambil alih peranan Frost," kata beliau kepada pemberita selepas melancarkan Liga Remaja Kebangsaan AirAsia-BAM bagi Pulau Pinang di sini pada Selasa.

Frost, yang menghadapi tekanan berikutan prestasi pemain-pemain negara yang kurang memberangsangkan tahun ini, telah menyerahkan surat peletakan jawatan pada 11 Sept dengan memberi alasan masalah peribadi dan BAM telah menerima peletakan jawatannya selepas mesyuarat jawatankuasa C and T pada Isnin.

Frost menjadi pengarah teknikal BAM pada 23 Feb, 2015, selepas menandatangani kontrak dengan Majlis Sukan Negara sehingga 31 Disember, 2020, dan beliau telah menjadi pengarah kejurulatihan BAM dari 1997 hingga 2000.

Dalam perkembangan lain, Norza berkata kurang keserasian adalah punca pasangan begeru negara Goh V Shem-Tan Wee Kiong dipisahkan.

Beliau berkata selepas perbincangan dengabn jurulatih mereka Soon Kit, keputusan untuk berpisah adalah untuk kepentingan kedua-dua pihak dan mereka sekarang akan bergandingan dengan pasangan baharu bagi kejohanan akan datang.

"Kami telah meletakkan V Shem untuk bergandingan dengan Teo Ee Yi sementara Wee Kiong akan berpasangan dengan Ong Yew Sin bagi Terbuka Perancis dan Terbuka Bitburger (di Jerman)," kata beliau.

Sementara itu, Norza berkata liga remaja kebangsaan yang akan diadakan di setiap negeri dari September hingga November akan memberi peluang untuk mencungkil bakat-bakat baharu di kalangan pelajar sekolah. - Bernama