Bangku Simpanan Bunuh Karier Pemain - Khaidir Buyong


KUALA LUMPUR - Pemain yang lebih kerap memanaskan bangku simpanan tidak seharusnya terus 'membunuh' karier mereka dan disaran mencari pasukan baharu supaya mereka mendapat peluang untuk beraksi dalam perlawanan.

Saranan itu dilontarkan bekas pembantu jurulatih skuad kebangsaan era 80an, Datuk Khaidir Buyong yang mengakui sedih selepas melihat situasi di mana lambakan pemain berbakat yang tidak diberi peluang untuk beraksi sekali gus dikhuatiri mampu merencatkan perkembangan potensi mereka.

Justeru, Khaidir mengharapkan mereka dapat membuat pertimbangan yang sewajarnya dengan mengubah haluan untuk mencari pasukan baharu yang boleh menjanjikan mereka beraksi lebih banyak perlawanan berbanding pasukan sedia ada.

"Amat rugi kerana kebanyakan pemain ini bukan tidak bagus tetapi kerana persaingan yang terlalu sengit, mereka akhirnya diketepikan dan lebih banyak beraksi selaku pemain simpanan ataupun pemain pilihan ketiga sahaja.

"Jika mereka sayangkan karier mereka, saya mengharapkan mereka berusaha untuk mencari pasukan lain yang mereka boleh dapat peluang beraksi dengan lebih kerap dan tidak hanya sekadar menjadi watak pembantu.

"Bagaimanapun, semuanya terpulang kepada diri masing-masing. Jika mereka yakin boleh terus bersaing, mereka boleh terus kekal tetapi kalau rasa sukar, saya berpendapat keluar menyertai pasukan yang lain adalah langkah yang terbaik," katanya ketika dihubungi BH Sukan, semalam.

Dalam masa sama, bekas pemain kebangsaan itu turut melihat situasi ini akan mendatangkan masalah kepada skuad kebangsaan kerana mereka tidak mendapat jumlah perlawanan yang mencukupi untuk beraksi secara kompetitif di peringkat antarabangsa.

"Kalau mereka langsung tidak beraksi, sudah tentu pengendali skuad kebangsaan juga sukar untuk memilih mereka kerana tidak tahu kemampuan dan prestasi sebenar mereka walaupun pada dasarnya, mereka berbakat.

"Jadi, bukan sahaja karier mereka terjejas, pasukan kebangsaan juga akan kehilangan khidmat pemain yang boleh digunakan. Jelas situasi ini tidak memberi manfaat kepada mana-mana pihak sekalipun," katanya.

Sumber: BH Online