Mangsa Banjir Di Kedah Meningkat Lebih 1,500 Orang, Air Mula Surut Di Kuala Muda


ALOR SETAR - Bilangan mangsa banjir  berpindah ke pusat pemindahan di Kedah sehingga pukul 10 pagi tadi terus meningkat kepada 1,576 orang berbanding 1,060 orang pada pagi semalam.

Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kapten Saifuddin Abdullah berkata, sebanyak 259 keluarga dipindahkan ke-14 pusat pemindahan di daerah Kuala Muda, Kota Setar, Kubang Pasu, Pendang dan Pokok Sena.

Menurutnya, sebanyak tiga pusat pemindahan baharu dibuka sejak awal pagi ini iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Mengkudu dan Surau Assyakirin di sini serta Dewan Kampung Lahar, Kubang Pasu.

“Tiga pusat pemindahan di Kuala Muda iaitu SK Bukit Kechil (390 mangsa daripada 83 keluarga), Dewan Kampung Jilid Lapan (44 mangsa daripada 12 keluarga) dan Dewan Kampung Sungai Pial (112 daripada 25 keluarga) bagaimanapun telah ditutup.

“Di Kota Setar sebanyak lima pusat pemindahan dibuka di Dewan Kampung Balai (20 mangsa daripada empat keluarga), SK Titi Gajah (55 mangsa daripada 14 keluarga), Jabatan Kemajuan Masyarakat Seberang Perak (enam mangsa daripada satu keluarga), SK Alor Mengkudu (24 mangsa daripada empat keluarga) dan Surau Assyakirin (53 mangsa daripada keluarga),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, empat buah pusat pemindahan dibuka di Kubang Pasu iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changloon, Surau Kampung Kubang Betong, SK Koduang Lama dan Dewan Kampung Lahar membabitkan 302 keluarga daripada 87 keluarga.

“Di Pendang, sebanyak 41 mangsa daripada 13 keluarga ditempatkan di Dewan Cenderwasih manakala di Pokok Sena, sebuah pusat pemindaham dibuka di SK Bukit Hijau (12 mangsa daripada empat keluarga),” ujarnya.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah turut meninjau dan  melawat penduduk yang dipindahkan di  daerah Kuala Muda termasuk di Bukit Kechik , mukim Bukit Meriam malam tadi.

Beliau berpuasa hati dengan bantuan dan usaha yang dijalankan untuk memindahkanh mangsa banjir sambil meminta penduduk di kawasan terlibat menjaga diri dan keselamatan anak-anak mereka.  - Kedahnews.com