Banjir Di Kedah, Perlis Dijangka Pulih Lepas Berakhir Air Pasang Besar


ALOR SETAR - Fenomena banjir kilat yang berlaku di Kedah dan Perlis setelah hujan lebat turun sepanjang dua hari tanpa henti menyebabkan banyak kawasan-kawasan di dua negeri tersebut terjejas teruk.

Namun begitu, dijangka banjir di negeri tersebut akan pulih secara berperingkat setelah  berakhirnya fenomena air pasang besar hari ini.

Ketua Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Datuk Azmy Yahya berkata, mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan meningkat namun beberapa kawasan  di dua negeri berkenaan semakin pulih secara perlahan-lahan.

"Hujan yang turun tanpa henti selama lapan jam sejak Khamis lalu dan ditambah pula dengan fenomena air pasang besar telah menyebabkan beberapa daerah di Kedah dan Perlis mengalami banjir.

"Walaupun hujan tidak turun sejak semalam, jumlah mangsa dipindahkan meningkat berikutan air dari hulu yang mengalir bertembung dengan air pasang yang dijangka berakhir esok," katanya.

Sehingga 12 tengah hari semalam, sebanyak enam pusat pemindahan masing-masing di Kedah dan Perlis telah ditutup.

"Pusat pemindahan ini tidak ditutup sepenuhnya kerana ia akan dibuka semula sekiranya perlu, tetapi sekiranya air surut dan hujan tidak turun esok mereka boleh pulang ke rumah masing-masing, " katanya.

Dilaporkan bahawa jumlah mangsa banjir kilat di Kedah sehingga jam 8 pagi ini terus meningkat kepada 3,621 orang berbanding 3,439 orang malam tadi. - Kedahnews.com