ALOR SETAR - Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menjelaskan keadaannya yang masih berada di Madinah Al-Munawwarah bersempena menunaikan ibadah haji di Tanah Suci baru-baru ini.
Justeru itu, beliau tidak dapat turun padang untuk bersama penduduk Pokok Sena menghadapi bencana banjir yang kini sedang melanda di parlimen tersebut.
"Amboi Ketua Pemuda UMNO ni. Tak kan la saya yang duk di Madinah nak kena turun. Tunggu saya balik la," kata Mahfuz ringkas, memetik sumber rakan media menerusi aplikasi Whatsapp, hari ini.
Namun begitu, tidak dapat dipastikan sama ada Ahli Parlimen Pokok Sena itu mengarahkan pembantu atau wakilnya untuk turun padang memantau dan membantu rakyat di kawasan yang beliau wakili atau tidak.
Mahfuz dipercayai menjawab teguran dari Ketua Pemuda UMNO Negeri, Dato' Shaiful Hazizy Zainol Abidin yang sebelum ini tertanya-tanya tentang kelibat Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Pakatan Harapan yang dikatakan "ghaib" ketika rakyat berdepan bencana banjir.
Difahamkan bahawa selain UMNO, beberapa pemimpin PAS juga turun padang memantau dan menghulurkan bantuan kepada penduduk yang terlibat dengan bencana banjir di negeri ini.
Shaiful Hazizy membidas beberapa wakil rakyat pembangkang, khususnya dari DAP dan PKR yang dikatakan seolah-olah bersikap "lepas tangan" serta kurang peduli tentang musibah yang melanda penduduk di kawasan diwakili.
"Mereka seolah-olah 'lepas tangan' apabila kawasan yang mereka wakili dilanda banjir. Mereka tidak peduli lagi penduduk yang telah memilih mereka," katanya.
Mahfuz merupakan Ahli Parlimen PAS bagi Parlimen Pokok Sena dan difahamkan berangkat menunaikan fardhu haji pada bulan lalu dan dijangka kembali ke tanah air dalam tempoh terdekat tidak lama lagi.
Meskipun PAS menegaskan tidak akan sesekali bekerjasama dengan Pakatan Harapan, namun Mahfuz disifatkan sebagai "mesra" dengan gabungan parti pembangkang berkenaan khususnya Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Diminta keluar dari PAS berkali-kali oleh beberapa kepimpinan PAS sebelum ini, namun Ahli Parlimen Pokok Sena itu tetap enggan berbuat demikian. - Kedahnews.com