Banjir Lumpur Di Perkampungan Terskol, Rusia: 19 Pendaki Malaysia Terkandas


PUTRAJAYA- Kementerian Luar mengesahkan bahawa 19 rakyat Malaysia yang sedang dalam pendakian menuju ke puncak Gunung Elbrus, Rusia, terkandas ekoran banjir lumpur yang melanda Perkampungan Terskol, yang terletak berhampiran gunung itu, pada Jumaat.

Dalam kenyataan semalam, Wisma Putra berkata pendaki Malaysia yang terjejas akibat bencana itu dilaporkan selamat.

“Semua laluan darat di kawasan terjejas tidak boleh dilalui setakat ini.

“Kedutaan Malaysia di Moscow bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan untuk memindahkan pendaki terbabit,” menurut kenyataan itu.

Wisma Putra menggesa rakyat Malaysia yang berada di sekitar kawasan terjejas supaya menghubungi kementerian berkenaan atau Kedutaan Malaysia di Moscow.

Mereka yang terjejas boleh menghubungi Kementerian Luar Malaysia di talian 03-8887 4570 atau menerusi e-mail di dutyofficer@kln.gov.my atau Kedutaan Malaysia di Moscow di Mosfilmovskaya Ulitsa 50, 115127 Moscow or +7 495 419 9898 / +7 495 419 9899 / +7 905 7466 944 atau e-mail mwmoscow@kln.gov.my

Wisma Putra berharap anggota keluarga akan bertenang sementara prosedur pemindahan dijalankan.- BERNAMA.