Banjir: PFP Akan Saman Kerajaan Pulau Pinang


GEORGETOWN - Kerajaan pimpinan DAP Pulau Pinang bakal berdepan tindakan undang-undang daripada Penang Front Party (PFP) kerana didakwa tidak menjalankan tanggungjawab menjaga kebajikan penduduk yang menjadi mangsa banjir, baru-baru ini.

Pengerusi PFP, Datuk Patrick Ooi berkata PFP sedang mengumpulkan maklumat daripada penduduk yang terjejas termasuk laporan polis dibuat oleh mangsa banjir.

"Kita akan serahkan laporan tersebut kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan jika tiada tindakan juga, kita akan ambil tindakan undang-undang," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Terdahulu, Ooi diminta mengulas kejadian banjir yang berlaku di hampir 100 kawasan di negeri ini selepas hujan berterusan selama lebih empat jam pada 15 dan 21 Sept lalu.

Beliau berkata, mengikut Agensi Pengurusan Bencana Negara di bawah MKN, kerajaan negeri harus menubuhkan sebuah jawatankuasa bencana untuk menghadapi bencana banjir yang telah melanda lebih daripada dua daerah.

"Namun sehingga hari ini, tiada satu jawatankuasa khas ditubuhkan untuk menangangi dan juga untuk meneliti bantuan yang diperlukan oleh mangsa banjir," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri didakwa tidak menjalankan tanggungjawab mereka dengan berkesan dalam menangani bencana alam itu meskipun banyak peruntukan yang telah disalurkan.

Ooi berkata, bantuan kewangan RM400 setiap keluarga mangsa yang diumumkan itu juga tidak mencukupi untuk menampung kos kerugian yang dialami mangsa.

Katanya, mengikut tinjauan PFP, kerosakan harta benda dan juga perabot rumah telah melebihi RM2,000 setiap keluarga.

"Saya menggesa kerajaan negeri berilah bantuan yang setimpal dengan kerugian yang dialami mangsa. Sekurang-kurangnya bantuan kewangan RM2,000 harus disalurkan kepada setiap mangsa banjir," katanya.

Banjir pada September 15 dan Khamis lepas dikatakan berpunca daripada tempias Taufan Doksuri yang melanda Vietnam dan menyebabkan taburan hujan luar biasa.- Bernama