Bapa Hilang Anak Dalam Tragedi Tahfiz Maafkan Suspek


KUALA LUMPUR - Saya maafkan mereka semoga diri dan keturunan mereka diberi hidayah ke atas apa yang berlaku," kata bapa kepada dua mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Hujung, Khamis lalu.

Nasrun Mat Yusuf, 46, bapa kepada mangsa yang maut, Muhammad Nizamudin, 13 dan Zunnun Misri, 15 yang terselamat, kini ditempatkan di Unit Rawatan Kebakaran Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini.

Beliau berkata, perkara sudah berlaku dan tidak akan mengembalikan semula anak saya yang sudah tiada.

"Mereka akan menjalani hukuman mengikut undang-undang dunia. Saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk menilai dan menghukum. Saya reda atas ketetapan Allah.

"Saya maafkan tetapi tidak mampu untuk berjumpa mereka atau keluarga mereka jika diminta berbuat demikian kerana ia akan mengingatkan saya kepada arwah," katanya kepada pemberita di HKL, di sini, hari ini.

Mengulas perkembangan Zunnun Misri, beliau berkata anaknya itu melecur 19 peratus di belakang badan, tiada kecederaan lain dan akan menjalani pembedahan esok.

"Dia ada menceritakan ketika kejadian dia terjaga tidur kerana terhidu bau gas, bunyi gas yang kuat sebelum mengejutkan adiknya serta penghuni lain.

"Bagaimanapun adiknya enggan bangun, asap terlalu tebal, keadaan kelam kabut menyebabkan dia turun terlebih dulu.

"Dia hendak tahu apa punca kejadian namun saya belum sedia menceritakannya," katanya yang tidak bercadang untuk meneruskan pengajian anaknya di pusat tahfiz berkenaan.

Sumber: Berita Harian