Bella Anggap Aleesya Harta Tak Ternilai


KUALA LUMPUR - Mengecap kebahagiaan selepas diijab kabul Jumaat lalu, pelakon terkenal Indonesia, Laudya Cynthia Bella meluahkan perasaan terhadap suami, Engku Emran Engku Zainal Abidin dan anak tiri, Engku Aleesya.

Melalui coretan pada laman Instagram, bintang Surga Yang Tak Dirindukan itu mengaku perkenalan dengan Engku Emran terjalin kira-kira lima bulan lalu.

"Di saat saya ikhlas, saya dipertemukan dengan dia (Emran). Dari masa kenal sampai kini, kami hanya melewati lima bulan (perkenalan) dan kurang daripada sebulan untuk kami melakukan persiapan pernikahan. Ini semua adalah jalan Allah.

"Terima kasih Allah untuk perjalanan yang indah ini," katanya.

Bella juga meluahkan betapa bahagianya bergelar isteri Emran dan 'ibu segera' kepada Engku Aleesya, iaitu anak Emran bersama-sama Erra Fazira.

Dedikasi buat suami tercinta, Bella meluahkan:

"Saya jatuh hati dengan cara abang (panggilan untuk suami) mencintai Allah, caranya mencintai saya dan keluarganya.

"Lebih lagi dengan cara abang mencintai Aleesya. Ia cerminan lelaki yang saya inginkan untuk memimpin dan melindungi anak saya bersama-sama abang nanti.

"Saya mencintainya sepenuh hati. Sebagai ganjarannya, Allah berikan saya harta yang tak ternilai iaitu Aleesya," katanya.

Bella turut berterima kasih kepada beberapa kenalan dari Malaysia terutama Nora Danish dan suaminya yang memperkenalkan Bella kepada Emran.

"Saya tidak boleh gambarkan perasaan kini. Cuma saya boleh katakan diri ini cukup bertuah. Saya bertemu jodoh ini, insya-Allah sampai Jannah.

"Terima kasih Allah kerana menghantar dia (Emran) menerusi Sheila (merujuk kepada watak Nora Danish dalam filem Surga Yang Tak Dirindukan 2) dan abang Boss Ned (suami Nora)... Kamu berdua memang pasangan bahagia.

"Terima kasih juga kepada Niesa Khalil yang menjadi teman ketika saya dan suami 'berdating' buat pertama kali. Sayang kamu semua," katanya.

Emran dan Bella dinikahkan bapa Bella, Busye Amir dengan mas kahwin sebanyak RM300 di sebuah hotel di sini, Jumaat lalu.

Sumber: BH Online