Belum Lulus Lesen Kelab, KFA Komited Penuhi Syarat FAM


ALOR SETAR - Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) perlu melengkapkan beberapa perkara dari sudut kewangan seperti yang disyaratkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk memperoleh lesen kelab bagi beraksi di Liga Super musim 2018.

KFA dalam kenyataannya sebentar tadi menegaskan kesediaannya untuk memberi komitmen penuh untuk memenuhi syarat yang ditetapkan itu sebelum dibawa ke Jawatankuasa Rayuan FAM dan diputuskan pada 15 September ini.

"Berkenaan permohonan perlesenan kelab kepada Football Association of Malaysia (FAM), pihak KFA telah memberikan komitmen penuh bagi memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.

"Melalui tapisan awal oleh First Instance Body (FIB) FAM pada 25 Ogos lepas, KFA perlu melengkapkan beberapa aspek kewangan dan akan dibawa kepada Appeal Board (AB) FAM yang akan membuat keputusan pada 15 September ini.

"Pengurusan telah mengambil langkah awal selepas menerima surat pemakluman dari FAM," kata pengendali laman Facebook rasmi KFA, hari ini.

Menurut kenyataan itu, pihak pengurusan KFA akan mengeluarkan kenyataan rasmi dan penjelasan penuh mengenai permohonan lesen kelab berkenaan dalam tempoh terdekat.

FAM hari ini mengumumkan pihaknya telah meluluskan lesen kelab kepada 7 pasukan daripada 12 pasukan yang kini beraksi di Liga Super 2017 yang membolehkan mereka beraksi di Liga Super musim depan.

Setiausaha Agung FAM, Dato' Hamidin Mohd Amin dalam kenyataannya menjelaskan kelulusan lesen kelab itu telah diputuskan dalam mesyuarat First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM yang dipengerusikan oleh Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif pada 24 Ogos lalu.

"Sebanyak 7 daripada 12 pasukan yang beraksi pada Liga Super 2017 telah lulus dalam permohonan mendapatkan lesen kelab Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi membolehkan mereka beraksi pada Liga Super 2018.

"Perkara ini telah diputuskan pada mesyuarat First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM yang dipengerusikan oleh Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif pada 24 Ogos 2017," katanya, memetik kenyataan yang dimuatnaik di laman Facebook rasmi FAM, hari ini.

Berdasarkan kenyatan KFA dan FAM tersebut, ia sekaligus menjelaskan bahawa KFA tidak termasuk di dalam kelompok 7 pasukan yang telah mendapat kelulusan lesen kelab dari badan berkenaan.

Walau bagaimanapun, KFA dijangka tidak akan berdepan sebarang masalah untuk diluluskan permohonannya yang bakal diputuskan oleh Jawatankuasa Rayuan FAM pada 15 September nanti. - Kedahnews.com