Berbisik Beli Petai Masih Diamalkan Di Pekan Tikam Batu


SUNGAI PETANI-  Beli petai secara berbisik mungkin kedengaran pelik namun tidak di pekan Tikam Batu, dekat sini, yang dianggap biasa selepas diamalkan sejak 10 tahun lalu hingga menjadi tumpuan peraih dan peniaga petai.

Setiap hari dianggarkan antara 5,000 hingga 10,000 papan petai dijual kepada peraih dan peniaga yang mana harganya ditentukan secara berbisik.

Petai itu dibawa dari ladang sekitar Tikam Batu, Kampung Bukit Tukang Jusuh dan Kampung Pulau Sayak, Kota Kuala Muda.

Seawal jam 8 pagi, lebih 15 peraih dan peniaga yang datang dari sekitar Sungai Petani, Kota Kuala Muda, Kepala Batas dan Padang Serai berkumpul di tempat letak kereta hadapan bangunan MARA Tikam Batu sambil menunggu petai yang dihantar pemiliknya.

Petai yang dibawa itu kemudian diserahkan kepada Che Lat Jaafar, 62, dan Ahmad Zuki Harun, 59, yang kemudian mengumpul semua petai berkenaan sebelum jualan petai secara berbisik bermula jam 8.30 pagi.

Che Lat berkata, setiap pagi, dia dan Zuki bersama peraih dan peniaga petai akan menunggu pemilik petai menghantar ulaman itu untuk dijual sebelum dikumpul terlebih dulu dan selepas itu ‘acara’ berbisik dijalankan.

Katanya, kuantiti petai yang dihantar tiada had kerana ada yang hanya hantar satu ikat dan ada hingga 10 ikat (mengandungi 1,000 papan).

“Ada pelbagai jenis petai antaranya petai padi, kacang, dulang dan papan, tetapi yang sering dijual di sini ialah petai padi, papan dan dulang yang mana harga ditawar mengikut kualiti petai iaitu jika petai itu ulasnya tersusun cantik dan tiada rosak harganya juga lebih tinggi.

“Kualiti buah menjadi penentu harga petai itu dijual sama ada tinggi atau pun rendah yang mana paling rendah harga petai dijual adalah RM30 seikat atau 100 papan dan harga petai juga mampu mencecah RM150 seikat jika kualitinya baik,” katanya.

Menurutnya, kualiti petai akan dilihat dari segi jenisnya seperti petai dulang dan padi dibezakan dengan panjangnya selain susunan isinya yang teratur serta tidak rosak.

Ahmad Zuki pula berkata, peniaga dan peraih selalunya akan menilai kualiti petai sebelum menawar harga. Selalunya petai yang baik mempunyai 15 hingga 19 ulas dan susunan isinya juga lebih teratur dan rapat.

“Sebagai penjual, saya dan Che Lat diberi kepercayaan oleh pemilik untuk menjual petai mereka. Kami berdua hanya membantu saja yang dibuat secara sukarela dan terpulang pada pemiliknya untuk memberi upah.

“Setiap hari antara 5,000 hingga 10,000 petai dijual di sini, tetapi bergantung jumlah petai yang dihantar. Aktiviti menjual petai secara bisik ini kami lakukan setiap hari sejak lebih 10 tahun lalu.

“Aktiviti jual petai secara bisik di Tikam Batu ini sesuatu yang unik dan ia tidak terdapat di tempat lain,” katanya.

Sumber: MyMetro