Bibi Ramjani Mahu Satukan Kumpulan Kalah


KOTA BHARU - Presiden baharu Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Bibi Ramjani Ilias Khan mahu menyatukan kumpulan yang kalah dalam pemilihan jawatan eksekutif persatuan tersebut pada kongres ke-63 badan induk itu semalam.

Beliau berkata, penyatuan itu penting bagi melonjakkan semula maruah pasukan yang tenggelam sejak beberapa musim kebelakangan ini.

 "Saya mahu semua bersatu,  kalah dan menang semuanya saya mahu bersatu demi membangkitkan kembali bola sepak negeri ini," katanya kepada pemberita sejurus dipilih untuk mengepalai Kafa di sini semalam.

 Pada kongres tersebut, beliau mendapat 32 undi manakala pesaingnya,  Datuk Muhammad Nasir Hamzah yang juga bekas Naib Presiden Kafa memperokeh 16 undi pada undian pusingan kedua.

 Undian dua pusingan terpaksa dilakukan selepas usahawan wanita itu gagal memperoleh undi dua per tiga daripada ahli gabungan persatuan tersebut.

 Pada pusingan pertama, Bibi Ramjani mendapat jumlah undi yang sama bagaimanapun Muhammad Nasir menerima 19 undi.

 Bibi Ramjani yang juga Pengurus Desa Murni Batik memberitahu, beliau sama sekali tidak menyangka akan menang kerusi No.1 itu untuk penggal 2017-2021.

 Katanya, tugas pertamanya untuk melihat secara mendalam masalah yang dihadapi oleh Kafa pada masa kini.

 "Saya pun tidak tahu lagi apa (masalah) yang sebenarnya berada dalam Kafa, tetapi  saya akan cuba tengok dan selesaikan sebaik mungkin," ujarnya. 

Sumber: Utusan Online