Bila Putus Asa Dengan Anak-Anak...


BERAPA ramai lagi agaknya kanak-kanak yang tidak bersekolah di negara ini? Kenapa jadi begitu? Adakah ibu bapa tidak mampu dari segi kewangan atau bila anak itu tidak pandai dalam pelajaran dan asal nakal sedikit di sekolah maka diberhentikan budak itu. Dengan anggapan semua hal boleh selesai, duduklah diam-diam di rumah. Itu sahaja.

Soal masa depan, ada pekerjaan atau tidak atau selama mana mahu hidup di bawah tanggungan ibu bapa, itu serah pada nasiblah. Sedangkan ‘ulat dalam batu pun boleh hidup’, inikan pula manusia, macam itukah?

Perkara ini saya timbulkan setelah kita semua dikejutkan bahawa yang membakar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pada awal pagi Khamis lalu adalah tujuh orang kanak-kanak dan remaja berusia 11 hingga 18 tahun yang semuanya sekolah sekerat jalan. Maka terfikir dalam kepala, rupa-rupanya Malaysia ini ada lagi budak-budak yang tidak habis sekolah. Ingatkan pada zaman dulu-dulu sahaja orang belajar paling tinggi darjah enam.

Negara ini pun sudah lama ada peruntukan undang-undang, jika anak-anak tidak didaftarkan bersekolah, ibu bapa akan didenda. Ini kerana memberi pendidikan asas itu satu kewajipan bukan satu pilihan. Jangan sesekali diambil mudah. Mahu berjaya menjadi selebriti seperti penyanyi dan pelakon di negara ini, mereka pun tamat sekolah. Yang ada ijazah dari universiti dalam dan luar negara pun berlambak.

Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun memberitahu saya, dia bekerja di kedai dobi kerana sudah bosan ke sekolah. Dia mengaku tidak pandai belajar dan sering ponteng. Bila dia menyuarakan hasrat mahu berhenti sekolah, ibu bapanya tidak membantah. Dan dia pun bekerja di situ. Dengan bekerja dia dapat membeli rokok dengan duit sendiri, katanya bangga.

Kenapa ibu bapa membiarkan atau menurut sahaja kehendak anak? Adakah sudah letih melayan kenakalan dan kerenah anak-anak? Lantas terus berputus asa dengan anak sendiri, tidak mahu lagi mengambil segala cabaran dan tanggungjawab dalam membimbing dan melindungi mereka. Dan penyudahnya, anak itu dibiarkan hanyut dalam sepak terajang hidup di luar sana dalam usia semuda itu.

Mungkin terlalu sibuk mencari duit. Hidup susah. Dan tiada kesedaran bahawa pendidikan itu dapat mengubah hidup di kemudian hari. Tak akan bapa jadi jaga, anak pun mahu jadi jaga. Asalkan ada kerja. Pelajaran tinggi bukan milik orang senang. Ia milik semua. Kebanyakan yang berjaya dalam bidang masing-masing pun berasal dari orang susah. Orang tua mereka sanggup buat apa sahaja asalkan anak-anak belajar tinggi.

Seorang remaja perempuan, 17 tahun, sepatutnya tidak lama lagi dia akan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tetapi pada awal tahun ini berhenti sekolah kerana mahu bekerja membantu keluarga dan ini pun tidak dibantah oleh ibu bapanya.

Anak itu, walaupun saya bukan ibunya tetapi dia mahu bercerita tentang masalah-masalahnya yang membuatkan dia jadi begitu. Saya tanya kenapa tidak cerita itu semua kepada ibu bapanya. Katanya, mereka tidak pernah mahu ambil tahu. Yang sering didengar pergaduhan ibu bapanya yang tidak cukup duit. Anak itu saya peluk dan dia menangis tersedu-sedu seperti ada tersimpan perasaan terbuku yang tidak dapat diluahkan sebelum ini. Kasihan budak itu.

Dalam usia belasan tahun, dia kena memikirkan susah senang keluarganya.

Hakikatnya, pada usia 11 tahun, 15 tahun atau 18 tahun sekali pun anak-anak ini masih terlalu mentah untuk mengharungi hidup ini. Memang kita mahu mereka berdikari. Tetapi itu tidak bermakna mereka perlu be­kerja pada usia yang sepatutnya mereka berada di bangku sekolah.

Yang lebih teruk, anak itu dibiarkan berpeleseran macam ayam terlepas reban. Bercampur dengan samseng, menagih dadah dan melakukan jenayah. Akhirnya apa yang mereka buat, berbalik semula padahnya kepada ibu bapa juga.

Jangan putus asa dengan anak-anak. Dalam dunia ini mereka tidak ada sesiapa untuk memperbetulkan apa yang tidak betul. Kesusahan dalam menyara anak-anak, biarlah kita sendiri yang rasa. Jangan dikata anak-anak itu menyusahkan. Kalau sudah terlibat dalam jenayah, itu baru betul-betul menyusahkan.

Sumber: Utusan Online