SEREMBAN - Bilal Surau Taman Andalas, Mantin di sini, cedera disambar api dapur ketika program ibadah korban di Masjid Kariah Pekan Mantin di sini, Sabtu lalu.
Menurut Aziz Zakaria, 57, kejadian kira-kira jam 11 pagi itu berlaku ketika dia sedang menghidupkan api dapur untuk memasak daging korban pada program berkenaan.
“Semasa saya nak hidupkan api dapur, api terus menyambar muka saya. Kejadian itu berlaku terlalu pantas dan disaksikan lebih kurang 10 orang jemaah di situ yang sedang bergotong-royong memasak.
“Selepas itu saya terus pulang ke rumah kerana seluruh bahagian muka terasa pedih dan panas. Saya cuba sapu ubat yang dibeli anak di farmasi, tapi sakit tetap tak berkurangan,” katanya.
Dia yang juga pesara tentera kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di sini, dan terpaksa bermalam di wad selama sehari.
Kata Aziz, sambutan Aidiladhanya tahun ini sedikit suram dan dia terpaksa berehat di rumah disebabkan masih belum pulih sepenuhnya.
“Setiap kali program korban, saya akan turun padang membantu. Tak pernah pula kejadian malang begini berlaku dan selepas ini saya perlu lebih berhati-hati.
“Muka saya masih terasa perit sehingga kini. Saya menganggapnya sebagai ujian dan bersyukur kerana hanya bahagian muka yang disambar api,” katanya.
Meskipun terpaksa berehat di rumah, namun Aziz terharu kerana menerima kunjungan tidak putus-putus daripada kenalan dan pemimpin masyarakat di kawasan tempat tinggalnya di Taman Andalas.
Sumber: Sinar Harian