KUALA LUMPUR - Sukan akuatik dilabel sebagai paling menyerlah pada edisi ke-29 Sukan SEA apabila menghadiahkan keseluruhan 22 pingat emas kepada kontinjen negara.
Setiausaha Kehormat Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Mae Chan berkata, beliau berbangga dengan aksi cemerlang atlet negara biarpun sasaran awal diletakkan adalah 17 emas.
“Saya sangat berbangga dengan persembahan mengagumkan yang dipamerkan semua atlet kita. Bagi terjun, kita menurunkan penerjun muda seperti Jellson Jabillin dan Gabriel Gillbert Daim yang turut cemerlang.
“Kita akan terus memberi pendedahan kepada penerjun muda ini. Dalam acara renang, mereka turut melakukan dengan baik. Mereka memecahkan beberapa rekod kebangsaan. Kesimpulannya kami berjaya penuhi apa yang kami sasarkan,” katanya.
Akuatik yang menampilkan 93 atlet bagi mewakili renang, renang terbuka, renang berirama, terjun dan polo air menghadiahkan keseluruhan 22 emas, 11 perak dan lima gangsa.
Katanya, secara keseluruhan, semua acara sukan akuatik - terjun, renang, renang berirama dan polo air - menghadiahkan pingat buat negara termasuklah polo air lelaki yang beraksi baik apabila memberi kejutan dengan menghadiahkan gangsa.
Terjun kekal sebagai acara yang membantu menyumbang emas terbanyak dengan menyapu bersih 13 emas, diikuti renang (5), renang berirama (2) dan renang terbuka (2).
Mengenai perenang yang dilihat masih jauh ketinggalan berbanding penerjun negara dalam pungutan emas, Mae Chan berkata, dua acara sukan itu tidak boleh dibandingkan memandangkan terjun adalah sukan subjektif.
Katanya, ASUM akan menguatkan program pembangunan renang di peringkat negeri bagi menambah jumlah perenang yang boleh diketengahkan ke peringkat kebangsaan.
Sumber: MyMetro