ALOR SETAR – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah telah melakukan pemeriksaan keatas 118 pusat tahfiz,pondok serta sekolah agama rakyat di negeri ini namun 80 peratus daripadanya gagal mematuhi aspek keselamatan kebakaran yang ditetapkan.
Menurut Pengarahnya, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba, Abdul Razak Muda berkata, sehingga Julai lalu pihaknya telah mengeluarkan teguran bertulis kepada pusat tahfiz, pondok serta sekolah agama yang gagal mematuhi piawaian yang digariskan.
“Dalam rekod JBPM Kedah, terdapat 147 buah pusat tahfiz, pondok serta sekolah agama rakyat berdaftar dengan kita. Daripada jumlah itu, sebanyak 118 telah diperiksa sehingga Julai lepas dan 80 peratusnya gagal mematuhi aspek keselamatan kebakaran.
“Antara teguran yang dikeluarkan adalah kerana tidak mempunyai alat pemadam api, sistem gelung hos, pengesan api automatik, penggera kebakaran elektrik manual, tangga kedua, tanda keluar kecemasan dan lampu kecemasan,” katanya yang dipetik dalam Utusan Online.
Sehubungan itu, pihaknya akan memastikan setiap pusat tahfiz, pondok serta sekolah agama rakyat yang sudah berdaftar akan dilakukan pemeriksaan keselamatan kebakaran dan pada masa sama memberikan ceramah kesedaran kepada semua pelajar serta menunjukkan demonstrasi penggunaan alat pemadam api. - Kedahnews.com