Batu Caves - Anggota Bomba dan Penyelamat Selayang membantu membawa turun seorang pesakit wanita berusia 50 tahun yang mengalami masalah obesiti daripada rumahnya di apartmen Puteri Laksamana sebelum dihantar ke Hospital Selayang, kelmarin.
Wanita yang mempunyai berat badan lebih 200 kilogram itu tidak mampu berjalan sehingga meminta bantuan bomba dan penyelamat.
Jurucakap bomba Selayang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 2.58 petang sebelum lima anggota dikejarkan ke lokasi.
“Tiba di lokasi, kami dapati wanita berkenaan berada di kerusi roda dan dia mengatakan perlu menjalani rawatan di hospital.
“Kami membantu mengangkat wanita itu melalui tangga ke tingkat bawah daripada kediamannya di tingkat dua.
“Kami bergilir-gilir mengangkat wanita berkenaan dan mengambil masa lebih setengah jam untuk sampai ke tingkat bawah,” katanya, semalam.
Menurut jurucakap, pihaknya mengambil masa agak lama kerana laluan tangga sempit.
Sumber: Metro