ALOR SETAR – Penganjuran acara Kayuhan Basikal Sihat Tanpa Vape dan Tembakau (S2TV) dengan membabitkan pihak masjid adalah langkah yang bijak dan tepat.
Imam Masjid Sultanah Bahyiah di sini, Haji Mustafa Kamil Abdul Jamil, selain memuji usaha itu menyifatkan program berkenaan dapat menggalakkan anak muda daripada melakukan perkara yang tidak baik.
Yang lebih penting, katanya, jumlah jemaah yang bersolat subuh di masjid itu pagi Sabtu bertambah sedikit.
“Acara dimulakan waktu pagi dan petugas serta peserta, ada yang datang awal dan bersolat subuh. Berganda-ganda pahala yang kita dapat. Itu yang penting,” katanya ketika ditemui pada acara yang bermula dan berakhir di pekarangan masjid itu, pada Sabtu.
Walaupun tidak berpuas hati dengan jumlah peserta, beliau tetap gembira kerana masjid berkenaan dipilih sebagai tempat acara itu.
“Terima kasih kepada jawatankuasa penganjur kerana melaksanakan program berkenaan. Semoga kempen ini memberi kesedaran kepada masyarakat supaya tidak merokok lagi.
“Saya berharap pada masa depan, akan ada lebih ramai lagi penggemar sukan berbasikal menyertai acara seperti ini,” katanya.
Acara itu anjuran Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (MySihat) dan jawatankuasa Masjid Sultanah Bahiyah.
Sumber: ISMA Alor Setar