Bukan Saman Sebab 'Tampal Sesuatu Pada Cermin'


POLIS menafikan mengeluarkan saman terhadap kesalahan 'tampal sesuatu pada cermin' seperti yang tular di Facebook (FB) sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias berkata, pihaknya mengesan status tular di FB menyatakan ketidakpuasan hati terhadap tindakan saman dikenakan anggota polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang atas kesalahan 'tampal sesuatu pada cermin’.

"Sepasukan anggota trafik menjalankan sekatan jalan raya di Jalan Serdang Perdana, Serdang, pada 3 petang, semalam dan menahan sebuah Toyota Hilux dipandu seorang lelaki.

"Kenderaan itu ditahan kerana kesalahan cermin gelap dan saman dikeluarkan oleh anggota trafik mengikut Seksyen 4(B) PU(A) 039/91 dalam Akta Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu)," katanya.

Megat berkata, gambar 'sun shade' yang ditularkan itu adalah gambar yang diambil daripada Internet dan bukanlah gambar sebenar kenderaan terbabit.

"Pihak polis memandang serius aduan itu dan akan menjalankan siasatan terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan perkara berkenaan kerana perbuatan terbabit sengaja dilakukan dengan maksud untuk memburukkan imej dan kredibiliti Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Tindakan menyebar maklumat palsu boleh didakwa mengikut Seksyen 223 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 (Akta 15).

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebar atau berkongsi maklumat palsu kerana tindakan yang tidak bertanggungjawab itu boleh menjejaskan ketenteraman awam dan membangkitkan keresahan masyarakat," katanya.

Sumber: Metro