Bukan Sebab Tunggu Lesen Lulus, Tapi Fokus Perkara Lebih Penting - Pak Tam


ALOR SETAR - Pihak Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) telah mendedahkan bahawa masih tiada keputusan muktamad dicapai diperingkat pengurusan berhubung kontrak semua pemain Skuad Hijau Kuning kerana masih dalam tempoh perundingan.

Perkara tersebut dijelaskan Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Aminuddin Omar yang dipetik dalam Mstar Online baru-baru ini.

"KFA belum buat apa-apa keputusan sama ada mahu sambung (kontrak) atau berhentikan mana-mana pemain setakat ini.

"Soal sambung kontrak masih berjalan tapi kita belum capai keputusan muktamad. Kita masih lagi di peringkat perbincangan dengan semua pemain," ujarnya.

Aminuddin berkata, pihak KFA enggan terburu-buru membuat keputusan mengenai perkara itu kerana mereka mahu fokus untuk merebut tempat kedua Liga Super selain mara ke final Piala Malaysia dan masih ada masa untuk buat pertimbangan tawaran baharu kepada pemain yang kontraknya berakhir hujung musim ini.

"Kita nak fokus pada baki perlawanan yang ada. Perkara lain bukan tak penting tapi kita kena bergerak ikut keutamaan pasukan terlebih dahulu," katanya.

"Kita masih ada masa lagi untuk berbuat demikian. Lagipun kita ikut kontrak sedia ada. 

"Jadi pemain pun kena ikut kontrak mereka yang masih berbaki sehingga November ini. Tak perlu terburu-buru," katanya.

Ketika disoal sama ada faktor belum mendapat lesen berstatus kelab sebagai punca kelewatan untuk memuktamadkan kontrak dua pemain importnya, Ken Ilso dan Zachary Anderson, Aminuddin bagaimanapun menafikan perkara itu.

"Bukan sebab tunggu (kelulusan) lesen. Sebenarnya kita belum buat keputusan sebab mahu fokus kepada perkara yang lebih penting," ujarnya lagi.

Mengulas mengenai rayuan untuk mendapatkan lesen kelab daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan  Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Aminuddin berkata KFA masih menunggu maklum balas daripada Badan Rayuan (AB) badan induk bola sepak negara itu.

"Belum dapat apa-apa keputusan kerana saya difahamkan badan rayuan FAM belum bermesyuarat. Namun KFA sudah lengkapkan segala dokumen yang diminta AFC," katanya.

Terdahulu, Aminuddin berkata, permohonan KFA untuk mendapatkan lesen berstatus kelab sebelum ini gagal gara-gara disebabkan penyata kewangan yang tidak lengkap.

Namun katanya, KFA telah pun mengemukakan kembali rayuan dan segala dokumen yang diperlukan FAM untuk tujuan tersebut sudah dinyatakan.- Kedahnews.com